Teks Bajet 2023 : Teks Ucapan Penuh Belanjawan 2023

Teks Bajet 2023 : Teks Ucapan Penuh Belanjawan 2023 | Belanjawan 2023 telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia. Belanjawan tahunan ini memberikan gambaran mengenai langkah yang diambil oleh kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia dalam meningkatkan kesejahteraan ekonomi mereka.

Di bawah ini adalah Ini teks ucapan penuh Belanjawan 2023.


Isi Kandungan

TEMA: BELANJAWAN 2023: MEMBANGUN MALAYSIA MADANI

Dato’ Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bernama “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2023 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua sekarang.

MUKADIMAH

Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

1. Firman Allah dalam Surah Yusuf, ayat 55:

قَالَ ٱجْعَلْنِى عَلَىٰ خَزَآ ئِنِ ٱ لْأَرْضِ إِۖنِّى حَفِيظٌ عَلِيمٌۭ

Nabi Yusuf berkata: “Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir), sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik- baiknya (Amanah), lagi mengetahui (cara mentadbirnya).

2. Kisah Nabi Yusuf AS ini dirakamkan Allah SWT ketikamana Raja Al-Aziz, yakni Raja Mesir ketika itu dalam keresahan akan jangkaan tujuh tahun kegersangan ekonomi setelah limpahan hasil yang jenuh sebelumnya.

3. Menurut ulama muktabar Muhammad al-Tahir Ibn Ashur, ayat ini memapar suasana tatkala Nabi Yusuf AS tampil mencurahkan khidmat bakti demi mempertahan maslahat dan kepentingan umat. Baginda menjelaskan asbab permintaannya itu kerana Baginda memiliki dua sifat yang sukar sekali didapati salah satunya oleh kebanyakan orang iaitu “al- Hafiz” bermaksud orang yang amanah dan “al-‘Alim”, yakni punyai kecerdikan dalam mengurus perbendaharaan dan perencanaan ekonomi.

4. Ketikamana berlakunya keresahan kita akan jangkaan kemelesetan ekonomi, dua sifat utama yang menjadi prasyarat kepada kejayaan pengurusan belanjawan.

Pertama: Amanah, kejujuran, ketelusan dalam menabung dan berbelanja. Dalam kegalauan kini, persoalan yang harus dibangkit ialah jumlah yang hidup merempat dan melarat. Apakah dana itu disalurkan secara telus bagi mengelak ketirisan dan pembaziran.

Kedua: Kepantasan berdasarkan kefahaman; apakah mungkin berlaku tindakan yang pantas, bijak dan berhemat dalam mengatur dan menyusun serta menetapkan kerangka belanjawan negara.

5. Justeru, pembentangan Belanjawan 2023 yang saya rumuskan sebagai Belanjawan MADANI ini ialah cerminan prinsip pertanggungjawaban dan sistem nilai yang luhur yang mampu mendepani tantangan semasa termasuk tantangan ekonomi global yang sarat dengan ketidaktentuan.

PRESTASI DAN TANTANGAN EKONOMI

6. Setelah mendengar keluhan rakyat dan gegaran suara saudara- saudari di Dewan yang mulia ini, saya memilih untuk menghidang Belanjawan keadaan sebenar dan tidak cuba mengaburi minda rakyat dengan angka-angka yang memukau.

7. Lantaran itu saya akan mulakan dengan menghurai fakta dan cabaran sebenarnya yang membelit ekonomi dan tantangan kepada kita di Parlimen dan di negara; apakah ada tekad politik untuk membuat anjakan dan perubahan yang perlu.

Pertama: Kerajaan mewarisi bebanan hutang yang terlalu tinggi

Hutang negara akan menjangkau 1.2 trilion ringgit atau lebih 60 peratus KDNK bagi tahun 2023. Jika dihitung hutang dan liabiliti, kita mencecah 1.5 trilion atau 81 peratus KDNK.

Bayaran khidmat hutang tahun ini juga mencecah 46 bilion ringgit atau 16 peratus daripada hasil iaitu telah melebihi had maksimum 15 peratus yang selama ini diamalkan.

Bayaran 46 bilion ringgit ini hanyalah untuk kadar faedah atau bunga pinjaman. Dewan yang mulia ini harus diingatkan, sudah 25 tahun Kerajaan berbelanjawan defisit, hutang negara terus bertambah. Kita pernah berhutang untuk membangun tanah FELDA dan itu tidaklah digusarkan tetapi berhutang untuk membiayai projek mega tanpa faedah mengundang persoalan apakah kita mengkhianati amanah sekiranya generasi anak muda dibebani dengan hutang.

Kedua: Malaysia mengalami kemerosotan dalam pentadbiran

Amalan rasuah dan penyelewengan bagaikan sudah sistemik sehingga membobrok tadbir urus Kerajaan, malah mencalar imej negara. Kesannya:

  • Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 telah jatuh merudum ke tangga 61 jika dibandingkan tangga 29 yang kita capai 1998. Transparency International Malaysia menyebut asbab kemerosotan ini kerana kegagalan membendung rasuah politik.
  • Laporan Ketua Audit Negara 2020 dan 2021 mendedahkan wujud ketirisan hampir 3 bilion ringgit meliputi kehilangan wang awam, pembaziran dan juga pembayaran tidak teratur. Umpamanya, isu terkurang kutip duti import kenderaan, Kerajaan telah hilang 72 juta ringgit hanya disebabkan proses kutipan duti import yang lemah.
  • Selain itu, wujud juga ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel dengan anggaran hampir 10 bilion ringgit nilai subsidi diesel diselewengkan pada tahun lalu.

Inilah bukti pelbagai ketelanjuran yang memberi dampak buruk kepada negara. Ini mesti dihentikan jika kita mahu negara ini beranjak ke hadapan dengan gagah dan gemilang. Kita yang menentukan apakah masa depan negara akan rencat, melonjak atau terpenjara, dan ia tergantung kepada ruang kebijakan yang ingin diterjemahkan.

Ketiga: Negara perlu menempuh ketidaktentuan ekonomi dunia

Kadar inflasi terus menekan disebabkan harga komoditi dunia yang masih tinggi dan gangguan rantaian bekalan makanan saat ini kesan daripada perang Rusia-Ukraine.

Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi dunia 2023 yang menyederhana pada 2.9 peratus ketimbang 3.4 peratus pada tahun lalu. Sektor perdagangan di peringkat dunia juga diunjur lembab pada kadar 2.4 peratus berbanding 5.4 peratus tahun 2022.

KDNK 2022 Malaysia mencatat pertumbuhan 8.7 peratus disebabkan asas KDNK 2021 yang rendah susulan dampak hentakan wabak COVID-19. Tetapi, bagi memberi gambaran penuh prestasi ekonomi, ia perlu dilihat bersama dengan pertumbuhan sukuan yang mencatat penurunan iaitu suku pertama (3.8 peratus), suku kedua (3.5 peratus), suku ketiga (1.9 peratus) dan suku keempat (negatif 2.6 peratus).


Keempat: Pelaburan belum mencapai prestasi sebelum pandemik

Kita meraih pelaburan 297.5 bilion ringgit tahun lalu iaitu 9.4 peratus lebih rendah ketimbang 328.5 bilion ringgit pada 2019. Kedudukan Malaysia dalam Senarai Daya Saing Dunia oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) juga telah jatuh ke tangga 32.

Sedangkan kita pernah duduki tangga ke-12 bilamana pelabur meyakini keupayaan ekonomi kita dan kecekapan jentera penyampaian awam.

Kelima: Tantangan ekonomi yang mengesankan rakyat

Inflasi 2022 berada pada kadar 3.3 peratus dengan kadar inflasi makanan dicatat tinggi iaitu 5.8 peratus. Kadar inflasi tahun ini dijangka sama seperti tahun 2022. Namun, akan lebih tinggi jika ketidaktentuan rantaian bekalan global tidak ditangani.

Kadar pengangguran pada tahun 2022 dicatat 3.6 peratus ketimbang 3.3 peratus sewaktu prapandemik tahun 2019. Pengangguran belia 25 tahun ke bawah masih melebihi 10 peratus. Purata pendapatan belia juga rendah, sekitar 1,700 ringgit pada 2021.

8. Apa yang disebutkan ialah paparan secara jujur dan terang mengenai kemelut ekonomi yang kita warisi bersama. Maka, Belanjawan MADANI ini harus punyai keupayaan untuk menggembleng seluruh kekuatan dan tenaga untuk menterjemah kebijakan baharu.

9. Kendatipun begitu, saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengajak pimpinan politik, pengemudi kementerian serta penjawat awam, selain para pengusaha dan rakyat untuk menerima kenyataan bahawa negara mampu mencipta lonjakan agar tatanan ini tidak hanya dapat diteladani negara tetangga serantau tetapi seantero dunia juga, dan pada masa sama membenih keyakinan di kalangan rakyat.

10. Sebagaimana penegasan di dalam Al Quran di mana Allah SWT berfirman dalam surah Hud, ayat 88:

إِنْ أُرِيدُ إِلَّا ا لْإِصْ لَا حَ مَا اسْتَطَعْتُ وَۚمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ عَۚلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَ إِلَيْهِ أُنِيبُ

Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.

11. Sementalahan pula harus kita akui bahawa amalan pembaziran dan rasuah mesti ditinggalkan. Maka, saya memilih untuk membentangkan kerangka belanjawan yang berteraskan semangat islah dengan maksud mempaculkan pengarahan baharu lagi segar, lantas membenam purbasangka yang kononnya kita masih cenderung mempertahankan status quo serta kepentingan golongan mahakaya.

“Malam sudah berakhir. Padamkan lampu di sudut sempitmu yang dikotori jelaga. Pagi yang agong untuk semua terbit di Timur, biar cahayanya menerangi jalan kita yang bermakna.”

(Rabindranath Tagore)

12. Belanjawan 2023 akan menjadi langkah pertama yang menelusuri kerangka Pembangunan Malaysia MADANI. Pembentangan hari ini menumpukan kepada 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad iaitu:

Pertama: Pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan
Kedua: Reformasi institusi dan tata kelola bagi memulih keyakinan
Ketiga: Keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan

PEMACUAN EKONOMI YANG TERANGKUM DAN MAMPAN

Ikhtiar 1: Kemampanan Fiskal

13. Kita di ambang tempoh kritikal dalam sejarah. Pentadbiran ini bertekad atas prinsip pertanggungjawaban, untuk mengawal kedudukan fiskal termasuk menangani permasalahan hutang, dan pada masa sama terus menopang pertumbuhan ekonomi yang terangkum dan mampan.

Pertama: Dasar Fiskal Mengembang

14. Analisis Bank Dunia dan Fitch menganggarkan pertumbuhan KDNK negara tahun ini diunjur pada kadar 4 peratus mengambilkira tinjauan ekonomi global yang mencabar.

15. Meyakini prospek ekonomi domestik yang semakin mengukuh, Kerajaan mengunjurkan bahawa pertumbuhan ekonomi sekitar 4.5 peratus.

16. Malah, mengambilkira ikhtiar untuk melaksana pembaharuan dan reformasi pentadbiran, saya yakin negara akan melepasi unjuran KDNK 4.5 peratus. Tentunya ini didorong langkah tuntas Belanjawan 2023 yang akan memacu pertumbuhan lebih mampan selain keyakinan pelabur antarabangsa yang kembali merancakkan ekonomi negara.

17. Kerajaan menjangkakan kutipan hasil 2023 berjumlah 291.5 bilion ringgit ketimbang 294.4 bilion ringgit pada tahun lalu. Namun, ini belum mengambilkira sumber hasil tambahan dan yakin akan meningkatkan hasil tahun ini ke paras yang lebih tinggi.

18. Pentadbiran ini mengambil pendekatan dasar Belanjawan 2023 yang mengembang sebagai usaha mendukung pertumbuhan ekonomi supaya limpahannya dapat dinikmati semua rakyat.

19. Belanjawan 2023 memperuntukkan 388.1 bilion ringgit dengan 289.1 bilion ringgit untuk belanja mengurus, 99 bilion ringgit bagi belanja pembangunan dan termasuk 2 bilion ringgit simpanan luar jangka.

20. Selaras dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada 97 bilion ringgit ketimbang 71.6 bilion ringgit tahun lalu. Peningkatan ini adalah untuk menumpukan program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam dan kemudahan desa. Dengan pembaharuan tatacara perolehan Kerajaan, akan dipastikan perbelanjaan tambahan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat.

Kedua: Mengawal Paras Hutang

21. Atas prinsip pertanggungjawaban, Kerajaan mengurangkan defisit fiskal 2023 kepada 5 peratus ketimbang 5.6 peratus pada 2022.

22. Kerajaan bertekad untuk mencapai tahap defisit fiskal yang mampan dalam jangka masa sederhana dengan sasaran 3.2 peratus kepada KDNK menjelang 2025 tertakluk pada pertumbuhan ekonomi yang terus kukuh.

23. Bagi mengekang peningkatan hutang, pinjaman baharu mestilah lebih rendah dan sebaik-baiknya untuk membiayai pembangunan yang membawa pulangan serta dampak langsung kepada rakyat.

24. Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal akan dibentangkan ke Parlimen pada tahun ini. Ini untuk menjamin supaya kebijakan ekonomi itu lebih telus dan bertanggungjawab bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlakunya ketelanjuran berterusan pada masa mendatang.

Ketiga: Meningkatkan Hasil Negara

25. Sebahagian firman Allah SWT daripada surah Al-Hasyr, ayat 7:

كَيْ لَا يَكُوْنَ دُوْلَةً بَۢيْنَ ا لْا غَْنِيَاۤءِ مِنْكُمْۗ

“…anak-anak yatim, orang-orang miskin dan untuk orang-orang yang dalam perjalanan, agar harta itu jangan hanya beredar di antara orang- orang kaya saja di antara kamu.”

26. Mengambil ibrah firman Allah SWT, pentadbiran ini komited menegakkan keadilan sosial. Pengagihan hasil yang adil tidak bermakna layanan sama rata, tetapi berasaskan keperluan.

27. Jabatan Perangkaan melaporkan kumpulan 20 teratas (T20) menguasai 47 peratus atau hampir separuh jumlah pendapatan isi rumah. Dari sudut tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kumpulan T20 memiliki 80 peratus daripada keseluruhan jumlah simpanan KWSP.

28. Mengambil kira pendapatan dan kekayaan negara yang tertumpu kepada kumpulan atasan atau golongan elit mahakaya, adalah wajar agihan hasil negara ditumpukan kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah.

29. Kerajaan akan mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar atau struktur percukaian bagi melindungi golongan kurang bernasib baik dan mengharapkan pemahaman rakyat yang lebih kaya untuk menggalas tanggungjawab secara bersama.

30. Antara ikhtiar yang telahpun diperkenalkan termasuklah:

  • Agihan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang lebih kepada rakyat yang memerlukan. 87 peratus ahli dengan simpanan kurang 30 ribu ringgit telah diberi dividen 5.1 sen per unit. Manakala, simpanan melebihi 30 ribu ringgit menerima dividen 4.6 sen per unit.
  • Selain itu, tarif elektrik telah dikekalkan bagi semua pengguna domestik dan perniagaan PKS tetapi semua syarikat besar kecuali sektor makanan dan pertanian telah dinaikkan.

31. Kerajaan belum bercadang melaksanakan cukai kepenggunaan berasas luas seperti Goods and Services Tax (GST). Dalam keadaan rakyat terbanyak masih susah, inflasi makanan lebih 5 peratus, kadar upah yang masih rendah, maka ternyata saat ini bukanlah ruang dan masa yang sesuai untuk memperkenal dan melaksanakannya.

32. Kerajaan mengambil pendekatan lebih progresif sebagai langkah baharu meluaskan asas cukai kepada mereka yang punyai kemampuan.

  • Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan Cukai Barangan Mewah mulai tahun ini dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah. Antaranya jam tangan mewah dan barangan fesyen mewah.
  • Selaras amalan terbaik antarabangsa, Kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun 2024 pada kadar yang rendah. Kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkaitan untuk meneliti perincian cadangan ini.

33. Selanjutnya, Kerajaan juga bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape. Walaupun vape bernikotin masih tidak sah di sisi undang-undang, hakikatnya telah dijual secara berleluasa dan dianggarkan bernilai lebih 2 bilion ringgit. Alangkah baik sekiranya ia dikawalselia dan dikenakan cukai supaya tidak menggalakkan penggunaan vape.

34. Kerajaan menyokong ikhtiar Generational Endgame (GEG) dan bersetuju bahawa separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan sebagai usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.

35. Bagi mengurangkan ketirisan, usaha penguatkuasaan agensi Kerajaan akan terus dipergiat bersama-sama pihak industri bagi mengekang ketirisan hasil dan subsidi angkara sindiket penyeludupan seperti diesel, arak dan rokok.

36. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan melaksanakan semula program pengakuan secara sukarela. Melalui program ini, pengampunan ke atas penalti 100 peratus akan diberikan bagi pengakuan sukarela mulai 1 Jun 2023 hingga 31 Disember 2024.

Ikhtiar 2: Memenuhi Keperluan Ekonomi Rakyat

Saya kongsikan petikan dari surat Saidina Ali Abi Talib yang diutuskan kepada calon Gubernur Mesir Malik Ashtar sebagai pedoman kita bersama:

فربما حدث من الأمور ما اذا عولت فيه عليهم من بعد احتملوه طيبة أنفسهم به فإن العمران محتمل ما حملته، وإنما يؤتى خراب الأرض من إعواز أهلها وإنما يعوز أهلها لإشراف أنفس الولاة علىالجمع وسوء ظنهم بالبقاء وقلة انتفاعهم بالعبر

“…dan adakalanya timbul pelbagai kesulitan yang bila kau tunjukkan jalan keluar kepada mereka, nescaya mereka akan menerimanya. Kesejahteraan mereka pasti mampu meringankan beban yang kau pikul, sebaliknya kehancuran negeri selalunya dari kerakusan para penguasa yang menumpuk kekayaan”.

37. Pentadbiran ini memahami masih banyak peniaga yang terkesan dengan pandemik lalu terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

38. Belanjawan MADANI akan memastikan PMKS tempatan untuk kembali berdaya saing dan meningkatkan keupayaan perniagaan mereka. Pelbagai kemudahan termasuk potongan cukai dan dana pembiayaan disediakan bagi membantu para peniaga.

Pertama: Potongan Cukai

39. Sukacita diumumkan, Kerajaan bersetuju mulai tahun taksiran 2023, kadar cukai PMKS ke atas pendapatan bercukai bagi 150 ribu pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus. Pengurangan ini dapat memberi penjimatan sehingga 3 ribu ringgit kepada setiap 150 ribu pembayar cukai PMKS.

Kedua: Kemudahan Penjaja dan Peniaga Kecil

40. Saya sering tegaskan apa guna kita punyai gedung-gedung besar, tetapi rakyat yang hidupnya berniaga kecil-kecilan tidak diambil peduli. Ekonomi rakyat perlu dimartabat, keperluan mereka hendaklah dipenuhi. Negara sudah cukup berselirat dan terkenal dengan projek mega dan mercu tanda, tetapi saya juga mahukan negara terkenal dengan kemudahan penjaja, gerai dan warung yang bersih dan indah.

41. Untuk memaknai hasrat ini, Kerajaan menyediakan 50 juta ringgit bagi membina baharu dan menaik taraf melibat 3,000 gerai dan kiosk sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara.

42. Selain itu, sejumlah 176 juta ringgit disediakan bagi menaik taraf premis dan kemudahan perniagaan antaranya di bawah MARA, DBKL, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).

Ketiga: Kemudahan Pinjaman dan Jaminan Pembiayaan

43. Agensi-agensi Kerajaan akan terus menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk manfaat usahawan PMKS dengan nilai keseluruhan sehingga 40 bilion ringgit.

44. Usahawan mikro dan penjaja kecil disediakan kemudahan pinjaman di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia, BSN dan TEKUN dengan dana yang tersedia berjumlah 1.7 bilion ringgit.

  • Antaranya, 300 juta ringgit dikhaskan untuk menyokong perniagaan mikro oleh usahawan wanita dan belia.
  • BSN menyediakan lebih 1 bilion ringgit dengan tumpuan kepada PKS Mikro dan penjaja.
  • TEKUN juga menyediakan 330 juta ringgit termasuk 10 juta ringgit untuk membantu belia daripada keluarga susah meraih pendapatan melalui perniagaan. Mereka diberi modal memulakan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.
  • Kerajaan juga bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas dan e- hailing.

45. Bagi perniagaan kecil dan sederhana (SME), hampir 10 bilion ringgit dana pinjaman disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Antaranya untuk meringankan beban kewangan PKS dan menyokong pengembangan perniagaan.

46. Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sedia menjamin sehingga 20 bilion ringgit pinjaman PKS dengan sektor tumpuan seperti teknologi tinggi, pertanian dan pembuatan diberi jaminan Kerajaan sehingga 90 peratus. Jaminan juga diperluas kepada pembiayaan oleh institusi kewangan bukan perbankan seperti syarikat pajakan kredit dan koperasi supaya dapat memberi manfaat khusus kepada penjaja kecil.

Ikhtiar 3: Mendepani Musibah Bencana

Pertama: Persiapan Menghadapi Bencana

47. Saya telah tegaskan perolehan rundingan terus yang dibuat dengan tergesa-gesa tanpa penelitian hanya membazirkan wang rakyat terutamanya berkait soal tebatan banjir. Sedangkan projek ini mustahak dan menelan belanja yang besar. Ketelanjuran lalu yang secara gopoh meluluskan projek tebatan banjir telah dibatalkan dan kini sedang dalam siasatan dan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Peguam Negara.

48. Bagi memastikan projek tebatan banjir benar-benar mencapai matlamatnya, projek cakna rakyat dan berimpak tinggi mesti dilaksanakan secara tender supaya menjamin nilai faedah terbaik dan memberi penjimatan kepada Kerajaan.

49. Sebagai contoh, negara dijangka mampu jimat 2 bilion ringgit daripada jumlah 15 bilion peruntukan tebatan banjir yang disediakan sebelum ini. Lantaran dari itu, pelaksanaan perolehan mesti dibuat secara tender.

50. Tahun ini enam projek tebatan banjir akan di-tender semula dengan segera selewatnya bulan Jun antaranya melibatkan:

  • Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi, Johor;
  • Pembinaan kolam takungan dwifungsi bagi tebatan banjir dan sumber bekalan air mentah di Sungai Rasau dan Sungai Klang, Selangor; dan
  • Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3, Kelantan.

51. Prestasi pasukan penyelamat kita di Turkiye baru-baru ini amat cemerlang dan membanggakan. Kita berharap pencapaian ini dapat diterjemahkan dalam bentuk mempertingkat kecekapan mengurus bencana dan memperkemas tahap kesiapsiagaan bencana di negara ini. Sebagai persiapan mendepani sebarang ancaman bencana:

  • NADMA disediakan 150 juta ringgit antara lainnya untuk keperluan aset, sistem amaran dan bantuan bencana kepada rakyat yang terkesan.
  • Angkatan Tentera Malaysia, Bomba dan RELA juga disediakan 50 juta ringgit bagi menyediakan peralatan dan aset untuk menghadapi bencana.
  • Peranan komuniti turut diperkasa sebagai kumpulan awal ketika bencana. Kerajaan menyediakan 20 juta ringgit di bawah Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti untuk manfaat 2,000 persatuan penduduk.

Kedua: Amalan Hijau

Allah SWT berfirman di dalam Surah Ar-Rum, ayat 41:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِى الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ اَيْدِى النَّاسِ لِيُذِيْقَهُمْ بَعْضَ الَّذِيْ عَمِلُوْا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُوْنَ

“Telah tampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”

52. Kerasukan dan kegelojohan menggondol khazanah alam, pembalakan bermaharajalela, antara sebab terjadi bencana besar. Di samping mengejar pertumbuhan ekonomi, penting untuk kita mengadun sebuah mutu kehidupan yang mampan dan seimbang serta menjaga hubungan antara manusia dan alam.

53. Tekad Kerajaan adalah untuk mempertahankan khazanah semula jadi negara, ke arah memastikan masa depan yang lebih hijau untuk semua. Ini termasuklah memelihara biodiversiti dan pengurusan hutan yang pada masa sama mengurangkan kebergantungan Kerajaan Negeri kepada hasil balak.

  • Peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) kepada Kerajaan Negeri akan ditingkatkan kepada 150 juta setahun berbanding 70 juta ringgit tahun lalu. Agihan EFT kepada negeri-negeri akan mengambil kira pewartaan kawasan perlindungan baharu termasuk habitat harimau dan mempergiat penanaman semula pokok di kawasan terosot.
  • Pada masa sama, sejumlah 38 juta ringgit turut disediakan bagi memelihara hidupan liar seperti harimau dan gajah serta habitat hutannya.
  • Kerajaan akan menambah bilangan renjer yang mengawal kawasan hutan kepada 1,500 orang dengan mengutamakan khidmat komuniti orang asli dan veteran tentera dan polis melibatkan peruntukan 50 juta ringgit.

54. Kerajaan akan terus menggalakkan amalan hijau dalam perniagaan.

  • BNM menyediakan dana pinjaman sehingga 2 bilion ringgit bagi mendukung syarikat pemula teknologi lestari dan membantu syarikat PKS menerap amalan rendah karbon.
  • Khazanah pula menyediakan 150 juta ringgit bagi merancakkan pembangunan projek mesra alam termasuk mendukung pasaran karbon dan penghutanan semula.
  • Selain itu, pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) ditambahbaik dengan nilai jaminan dinaikkan kepada 3 bilion ringgit sehingga 2025.

Kerajaan bercadang untuk melanjutkan tempoh insentif Green Investment Tax Allowance (GITA) dan Green Income Tax Exemption (GITE) hingga 31 Disember 2025 dengan menambahbaik tempoh galakan dari 3 kepada 5 tahun bagi aktiviti hijau yang layak.

Ikhtiar 4: Meraih Pelaburan Berimpak Tinggi

Pertama: Memudah Cara Pelaburan

55. Agak membimbangkan bilamana kadar inovasi negara ini masih rendah di samping nilai pelaburan yang belum melepasi tahap prapandemik. Perlu ada kebijakan baharu yang berupaya memberdaya ekosistem serta menarik lebih banyak kemasukan pelaburan bermakna yang memangkin pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan dengan gaji yang bermaruah.

56. Bagi merancakkan pelaburan sektor berteknologi dan berimpak tinggi, selaras Dasar Pelaburan Negara:

  • Invest Malaysia Council dan Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI) akan menerajui usaha mempercepat kelulusan projek-projek pelaburan berpotensi tinggi. Sementara PEMUDAH akan diperkasa sebagai unit pemudah cara iklim pelaburan dan persekitaran perniagaan.
  • Kerajaan akan menambah baik prosedur menjalankan perniagaan bagi mengurangkan birokrasi termasuk memberikan insentif kepada Pihak Berkuasa Tempatan yang memudah cara pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan bagi memastikan usaha pelaburan dapat dipercepat.

57. Kajian Bank Negara menunjukkan, manfaat pelaburan langsung asing (FDI) dilihat semakin mengecil ekoran ketersediaan insentif yang tinggi dan pelaburan bernilai tambah rendah. Malaysia mempunyai lebih 100 jenis insentif dan lebih 30 agensi promosi pelaburan (IPA). Dengan pola perubahan global susulan perkembangan teknologi dan perubahan iklim, evolusi insentif di Malaysia diperlukan untuk menyokong kegiatan ekonomi.

58. Bergerak ke hadapan, sebuah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 akan diumumkan pada suku ketiga 2023 untuk melakar hala tuju pembangunan perindustrian yang bertumpukan aktiviti berkualiti tinggi dan pengambilan bakat tempatan.

  • Selari dengan Pelan ini, agensi promosi pelaburan dan insentif pelaburan akan distruktur semula ke arah kadar cukai berperingkat berasaskan hasil seperti mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, mendalami rantaian bekalan dengan firma tempatan dan mewujudkan kelompok industri baharu.
  • Pemantauan pelaburan yang menerima insentif juga akan diperkasa untuk memastikan manfaat yang diharapkan dapat diperolehi sepenuhnya oleh negara dan rakyat.

59. Antara isu utama pelabur asing ialah kurangnya bakat tempatan yang membolehkan mereka melabur dan beroperasi di Malaysia. Sedangkan pada masa sama, kita memberi biasiswa kepada lebih seribu pelajar setiap tahun untuk bidang kejuruteraan di Jepun, Korea, Perancis dan Jerman.

  • Bagi menangani isu ini, Kerajaan akan menyelaras kerjasama antarabangsa dengan syarikat multinasional asing untuk menyediakan peluang perantisan di negara pemegang biasiswa menuntut. Pelajar ini juga dibenarkan untuk menyempurnakan bon perkhidmatan mereka dengan syarikat tersebut.

Kedua: Pelaburan dalam Sektor Keutamaan

60. Malaysia punyai potensi besar dalam sektor Elektrikal & Elektronik (E&E) dan aeroangkasa. Kerajaan bercadang untuk:

  • melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengilangan yang memindahkan operasi ke Malaysia dan kadar cukai 15 peratus kepada C-Suite sehingga tahun 2024 bagi menarik pelaburan daripada syarikat yang terjejas akibat COVID-19 untuk beroperasi di Malaysia; dan
  • melanjutkan insentif cukai pendapatan serta elaun cukai pelaburan sehingga 31 Disember 2025 dalam bidang aeroangkasa bagi menggalakkan pengembangan kapasiti syarikat sedia ada dan menarik pelaburan daripada syarikat baharu.

61. Bank Pembangunan Malaysia Berhad menyediakan sehingga 6 bilion ringgit pembiayaan strategik khusus untuk menggalakkan agenda mampan dan automasi selain sokongan dalam bentuk ekuiti dan modal kerja pusingan kepada syarikat berpotensi tinggi yang masih terjejas dengan COVID-19.

62. Kerajaan memandatkan Tun Razak Exchange (TRX) sebagai hab kewangan antarabangsa Malaysia. TRX perlu berusaha menarik industri kewangan global supaya berupaya menjadi destinasi utama pelaburan asing berkualiti tinggi yang boleh memperkukuh ekosistem perniagaan di Malaysia.

63. Kerajaan juga bercadang untuk memperkukuh pembangunan Iskandar Malaysia di Johor melalui pewujudan zon khas kewangan dengan pakej imbuhan yang berdaya saing bagi menarik pelabur antarabangsa dan pekerja berpengetahuan menetap di Malaysia.

64. Bagi mendukung dan menggalakkan kemasukan pelabur, peniaga dan pelancong, Kerajaan bercadang untuk membesarkan dan meningkatkan keupayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Subang. Cadangan pembesaran yang akan diterajui oleh MAHB ini dijangka memanfaatkan pertumbuhan ekonomi pada kos yang jauh lebih rendah berbanding cadangan membina lapangan terbang baharu di Kulim yang dianggarkan 7 bilion ringgit.

65. Tumpuan juga diberikan bagi menyokong projek pembangunan Pelabuhan Sanglang di Perlis bagi mengendalikan kargo petroleum dan kargo pukal yang akan memberi nilai tambah kepada ekonomi Perlis. Dalam masa yang sama, Kerajaan akan membina struktur baharu hakisan pantai antara Kuala Sanglang, Perlis ke Kuala Jerlun Kubang Pasu, Kedah.

66. Bagi menyokong perkembangan perdagangan antarabangsa, Kerajaan mendukung cadangan pembangunan pelabuhan utama di Pulau Carey oleh pihak swasta. Projek ini dijangka dapat memperkukuh pelabuhan Klang sebagai pelabuhan hab utama untuk rantau Asia Tenggara.

Ketiga: Ekonomi dan Kewangan Islam

67. Ramai keluarga kita dahulunya menyimpan wang di bawah bantal. Sejak itu saya sedar kepentingan sebuah bank Islam yang mengguna pakai prinsip keadilan sosial, sifar riba bagi meyakinkan bukan sahaja umat Islam malah bukan Islam untuk melabur dan menyimpan dalam sistem perbankan yang kini berada di seantero dunia.

68. Alhamdulillah, Malaysia terus menerajui sektor kewangan Islam di dunia sejak diperkenalkan lebih empat dekad lalu dengan pengoperasian Bank Islam pada tahun 1983. Kita juga kekal di kedudukan teratas pasaran sukuk global dan peneraju utama pengetahuan kewangan Islam.

69. Di sebalik pencapaian membanggakan, sektor kewangan Islam masih belum mencapai keupayaan penuh berasaskan nilai bagi memenuhi keperluan ekonomi dan sosial semasa.

  • Ekosistem kewangan Islam hari ini belum menepati idealisme pelopor Kewangan Islam seperti Profesor Dr. Muhammad Nejatullah Siddiqi yang menekankan konsep keadilan dan moral yang selari dengan maqasid syariah. Beliau antaranya menyebut, “more than anything else, Islamic banking and finance, a sub-culture of Islamic economics, has been a quest for justice and morality into the ordinary business of life.”
  • Almarhum Sheikh Yusuf al-Qaradhawi dalam kunjungan ke Malaysia pada 2009 menyatakan keprihatinan terhadap sistem kewangan Islam agar dirangka dengan ikhtiar baharu yang lebih berkesan bagi pembangunan sosioekonomi rakyat berlandaskan keadilan sosial.
  • Maka perlunya kebijakan baharu dalam meningkatkan keupayaan sistem kewangan Islam dengan menekankan prinsip pemacuan pertumbuhan, penyertaan yang lebih meluas dan pengagihan kekayaan yang adil serta tidak hanya tertumpu kepada keuntungan syarikat dan konglomerat.
  • Ini juga jelas diungkap oleh Sir Ronald Cohen dalam karyanya ‘Impact: Reshaping Capitalism to Drive Real Change’ bahawa betapa berjayanya syarikat berteraskan impak sosial yang bukan hanya berpaksikan keuntungan semata.

Kementerian Kewangan, Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti terus memberi penekanan untuk meningkatkan penyediaan pembiayaan Islam berteraskan ekuiti dengan konsep perkongsian risiko seperti Mudarabah dan Musyarakah.

BNM juga memperkenalkan Climate Risk Management and Scenario Analysis, Towards A Greener Financial System and Financial Inclusion Framework 2023-2026. Di peringkat global, the General Council for Islamic Banks and Financial Institutions turut telah mengeluarkan Sustainability Guide for Islamic Financial Institutions.

Berhubung simpanan syariah KWSP telah diperkenalkan sejak 2017, pada masa ini, aset simpanan syariah dilaburkan bersama aset patuh syariah dalam simpanan konvensional. Bermula 2024, aset simpanan syariah akan diasingkan sepenuhnya bagi memberi pulangan yang kompetitif kepada 1.25 juta ahli yang memiliki akaun syariah.

Sesuai dengan kerangka MADANI, kaedah berwakaf merupakan salah satu mekanisme pengagihan semula kekayaan yang menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.

Kejayaan pembinaan Menara Bank Islam di segi tiga emas Kuala Lumpur atas wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy yang bernilai ratusan juta ringgit menunjukkan keupayaan sebenar sektor wakaf terhadap agenda pembangunan.

Begitu juga Wakaf Seetee Aisyah dan Wakaf Simpang Enam di Pulau Pinang yang boleh dijadikan rujukan sebagai pusat sosioekonomi rakyat setempat.

Malah Wakaf FELDA membuktikan adanya anjakan minda peneroka apabila mereka bukan lagi semata-mata golongan menerima bantuan tetapi telah mula berkongsi rezeki dengan nilai wakaf terkumpul melebihi 27 juta ringgit walaupun tabung wakaf baru ditubuhkan pada 2021.

Setakat ini, tanah wakaf berdaftar yang berjaya dibangunkan hanya sekitar 3,500 hektar atau 12 peratus. Usaha segera perlu digembleng dalam membangunkan tanah dan aset wakaf.

Sukacita dimaklumkan, Kerajaan telah menerima komitmen swasta untuk mewujudkan Wakaf MADANI dengan aset-aset bernilai lebih 1 bilion ringgit. Aset-aset yang terdiri daripada tanah, masjid, bangunan, kemudahan kesihatan dan pendidikan akan dioptimumkan bagi manfaat golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan rentan lain.

Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Nasional Tanah Wakaf dengan objektif wakaf menyumbang 20 peratus pengembangan sektor kewangan sosial Islam menjelang 2030. Bagi memastikan objektif keseriusan Kerajaan, saya sendiri akan mempengerusikan Jawatankuasa Nasional ini.

REFORMASI INSTITUSI & TATAKELOLA BAIK BAGI MEMULIH KEYAKINAN

Ikhtiar 5: Pembaharuan Sektor Awam

Dato’ Yang di-Pertua,

Saya mahu buktikan ada seorang anak Melayu yang menggunakan kuasanya menjaga dan berjuang untuk rakyat negara ini. Saya mahu buktikan seorang yang beragama Islam akan dihormati dan dipercayai kerana prinsipnya menegakkan keadilan dan kebenaran.

Kerajaan Perpaduan dengan tegas akan melaksanakan reformasi institusi dan tatakelola baik bagi menghapus segala ruang yang boleh mewujudkan amalan rasuah dan penyelewengan yang sistemik.

Semua agensi Kerajaan termasuk LHDN, SPRM dan PDRM sedang giat menyiasat salah laku rasuah dan termasuk nama-nama yang terkait dalam Pandora Paper. LHDN juga akan terus menyiasat kekayaan luar biasa bagi memerangi jenayah rasuah daripada terus membarah.

Rakyat sudah tidak sabar mahukan perubahan, saya juga tidak sabar untuk lakukan anjakan pembaharuan supaya urusan Kerajaan akan lebih pantas, mudah dan telus.

Pertama: Ketelusan Dalam Perolehan Kerajaan

Pelaksanaan perolehan Kerajaan misalnya, mesti telus dan terbuka berlandaskan tatakelola yang baik. Tidak boleh sewenang-wenangnya berlaku pembaziran wang rakyat dan pelanggaran hukum menggunakan kaedah rundingan terus.

Faktanya, projek tebatan banjir 15 bilion ringgit dan Jana Wibawa 7 bilion ringgit yang dibuat secara rundingan terus sebelum ini telah dibatalkan.

Setelah sebilangannya ditender semula secara telus, negara dijangka boleh jimat sehingga 3 bilion ringgit. Penjimatan besar seperti ini akan diagih semula untuk dimanfaatkan melalui projek rakyat yang lain.

Kerajaan pada 2019 telah mencadangkan pembentangan Akta Perolehan Kerajaan di Dewan ini, namun telah ditangguhkan sewaktu pentadbiran Kerajaan lalu. Kerajaan Perpaduan bercadang untuk membentangkan Akta ini segera.

Selama ini ada orang berasa curiga, takut dan menerima tekanan, apabila ingin memberikan maklumat. Kerajaan bercadang untuk meminda dan membentangkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat pada tahun ini, bagi melindungi pemberi maklumat supaya agenda membanteras rasuah dan salah laku benar-benar menuaikan hasil.

Kedua: Menyegerakan Projek Prasarana Rakyat

Tidak boleh diterima akal bahawa zaman sekarang rakyat masih terpaksa berdepan isu sekolah dan klinik daif. Saya tidak mahu perkara ini terus berlarutan. Kalau disebabkan projek lambat siap kerana mematuhi prosedur, apa guna jadi Kerajaan kalau tidak memudah cara. Ini perlu segera diselesaikan tahun ini juga.

Kerajaan menyasarkan untuk menyiapkan dengan kadar segera pembaikan bagi 400 klinik daif dan 380 sekolah daif dengan peruntukan sebanyak 1.2 bilion ringgit.

Untuk menyegerakan pelaksanaan projek, had sebut harga perolehan kerja pembaikan sekolah dan klinik daif ditingkatkan kepada 1 juta berbanding 500 ribu ringgit serta perolehan secara cabut undi kepada 200 ribu berbanding 100 ribu ringgit.

Terkait hal yang sama, isu kemalangan jalan raya yang kian meningkat juga perlu segera ditangani. Lebih-lebih lagi jika disebabkan kelemahan prosedur Kerajaan menyelesaikan masalah keselamatan jalan raya.

Kerajaan menyediakan 2.7 bilion ringgit untuk menyelenggarakan dan menaik taraf jalan persekutuan. Dalam masa sama, bagi melaksanakan penyelenggaran kecil, 300 juta ringgit disediakan khusus untuk kontraktor G1 hingga G4.

Sejumlah 1.5 bilion ringgit juga disediakan bagi menaik taraf dan membina baharu jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar.

Bagi isu jalan-jalan berlubang, khidmat Jurutera Daerah akan digunakan untuk menyegerakan penurapan kerosakan jalan persekutuan serta pembaikan segera lain berdasarkan aduan rakyat yang diterima. Kerajaan menyediakan 100 ribu ringgit untuk setiap daerah.

Sejumlah 50 juta ringgit disediakan untuk segera memasang lampu-lampu jalan khususnya di kawasan berkemalangan tinggi.

Kerajaan akan meningkatkan pemberian MARRIS yang bertujuan untuk menyelenggarakan jalan negeri kepada 5.2

bilion ringgit. Kerajaan Persekutuan telah memberi kelonggaran termasuk membenarkan penggunaan MARRIS untuk membaiki dan

mengganti jalan,jambatan danlongkang yangrosakakibat bencana.

Ketiga: Galakan Kementerian dan Agensi Berinovasi

Kita tidak boleh lagi bertoleransi dengan budaya kerja lapuk, peraturan tidak munasabah dan prosedur yang melambatkan. Masih banyak perkhidmatan Kerajaan menggunakan khidmat ejen hingga amalan rasuah itu menjadi sistemik.

Perkhidmatan Kerajaan perlu cerdas mengadaptasi teknologi dan digital bagi mengurangkan karenah birokrasi. Anjakan baharu juga diperlukan supaya dapat memboleh daya perkhidmatan awam bagi melaksanakan yang terbaik untuk rakyat tanpa batas sempadan Kementerian atau agensi.

Sebuah Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara telah ditubuhkan untuk menerajui hasrat ini.

Dana akan disediakan bagi pelaksanaan projek rintis oleh Kementerian yang boleh menambah baik perkhidmatan Kerajaan kepada rakyat di bawah STAR. Kementerian yang berjaya akan diberikan peruntukan penuh untuk pelaksanaan projek di peringkat nasional.

Bagi memastikan perkhidmatan pengkomputeran awan dalam sektor awam yang berkesan, MAMPU telah mengambil langkah strategik dengan menaik taraf perkhidmatan MyGovCloud.

Perkhidmatan ini mampu berfungsi secara hibrid dengan turut menggabungkan perkhidmatan public cloud oleh cloud service provider yang dilantik Kerajaan.

Kerajaan akan memastikan lebih banyak pusat data dapat dibuka di Malaysia dengan memberi imbuhan cukai dan infrastruktur keselamatan yang berpatutan, kemudahan tenaga hijau dan lokasi untuk membuka pusat ini.

Keempat: Menangani Isu-Isu Rakyat

Jenayah penipuan dalam talian atau scam kini semakin parah. Untuk tahun 2022 sahaja, lebih 25 ribu jenayah ini direkodkan dengan kerugian sebanyak 850 juta ringgit. Walaupun Kerajaan telah menubuhkan National Scam Response Centre (NSRC), tetapi belum ada dasar seragam dalam menangani isu ini kerana setiap institusi perbankan mengeluarkan garis panduan masing-masing. Bagi mengukuhkan peranan NSRC, sejumlah 10 juta ringgit disediakan bagi geran pengoperasian.

Bank Negara juga akan menguatkuasakan dasar “kill switch” kepada semua institusi perbankan bagi membolehkan pengguna sendiri mengambil tindakan segera membekukan akaun mereka termasuk kad ATM daripada digunakan sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan.

Rakyat yang diisytihar muflis berhak punyai peluang kedua. Setakat Januari, lebih 260 ribu kes muflis telah direkodkan yang turut melibatkan anak-anak kita majoritinya Melayu yang punyai potensi menyumbang kepada ekonomi negara.

Kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat.

Sementara menunggu pindaan, kes-kes kecil yang hutangnya kurang 50 ribu ringgit yang memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac ini.

Kerajaan menyasarkan 130 ribu rakyat dilepaskan daripada status muflis dengan lulusnya pindaannya.

Golongan banduan juga wajar mendapat peluang kedua. Bagi Bagi kepentingan dan asimilasi semula ke dalam masyarakat, banduan akan terus diberi latihan secukupnya melalui program Skill for Inmate. Majikan juga digalakkan untuk menggaji banduan termasuk bekas penghuni Sekolah Henry Gurney dan institusi perlindungan dan pemulihan JKM dan layak mendapat potongan cukai tambahan. Program Agro Penjara untuk banduan terlibat dalam aktiviti pertanian yang dilaksanakan di atas tanah penjara seluas 70 hektar akan terus diperkasa dengan peruntukan 10 juta ringgit.

Kerajaan Perpaduan sentiasa prihatin akan keselamatan masyarakat kita, terutamanya wanita dan kanak-kanak. Namun, permasalahan melibatkan wanita dan kanak-kanak masih dilihat membimbangkan saat ini.

Bahagian D11, Polis Diraja Malaysia akan bertindak lebih agresif dalam menyiasat kes-kes seksual, wanita dan kanak-kanak. Antaranya, sebuah unit khas di bawah D11 akan ditubuhkan khusus untuk membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak dan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk mencari pelaku yang terlibat.

Pada masa sama, Kerajaan menyediakan 8 juta ringgit bagi memperkukuh peranan Pusat Sokongan Sosial Setempat sebagai tempat intervensi awal isu kesihatan mental dan keganasan rumah tangga.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memberikan perkhidmatan sokongan lebih komprehensif kepada kanak-kanak.

Syarikat yang menyediakan perkhidmatan kredit pengguna seperti syarikat pemfaktoran dan Buy Now Pay Later perlu dikawal bagi melindungi hak pengguna. Bagi menjamin layanan yang adil serta melindungi hak rakyat dan perniagaan, Kerajaan akan menggubal Akta Kredit Pengguna serta menubuhkan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna bagi mengawal selia perniagaan kredit yang dijangka akan dibentangkan pada tahun ini.

Bagi membantu rakyat susah mendapat pembelaan yang adil dan saksama, Jabatan Bantuan Guaman akan menaikkan had kelayakan mendapatkan bantuan guaman penuh daripada 30 ribu kepada 50 ribu ringgit. Fungsi Jabatan Bantuan Guaman juga akan diperluas

meliputi kes-kes sivil dan syariah. Melangkah ke hadapan, Kerajaan akan meniliti ikhtiar untuk menggubal Akta yang khusus bagi menawarkan bantuan guaman percuma bagi kes jenayah supaya rakyat susah turut mendapat akses kepada keadilan.

Kelima: Reformasi Institusi

Kerajaan menekuni pengarahan baharu untuk mereformasi institusi perkhidmatan awam yang dilihat mempunyai pertindihan kuasa dan fungsi yang hampir sama. Ini juga termasuk kemungkinan membebaskan sepenuhnya dan mengasingkan saraan bagi Badan- Badan Berkanun Persekutuan yang mandiri. Langkah ini dilihat penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan.

Pemusatan badan-badan Kerajaan dengan fungsi yang hampir sama dilihat lebih efektif dalam menunaikan mandatnya.

Sebagai contoh, Kerajaan mencadangkan penstrukturan semula institusi yang memperkasa pegangan pelaburan bumiputera dengan menggabungkan Yayasan Pelaburan Bumiputra, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera serta Yayasan Ekuiti Nasional dalam tempoh terdekat.

Kerajaan juga meneliti keperluan menstruktur semula semua agensi yang mengawal selia dan menyelaras ekosistem syarikat pemula dan inovasi. Ini penting supaya dapat diselaraskan dengan lebih efektif usaha membangunkan syarikat pemula tempatan dari peringkat permulaan hinggalah berjaya disenarai di Bursa Malaysia.

Satu perkara pokok yang perlu diberi perhatian, agensi Kerajaan umpamanya Tabung Haji, FELDA dan FELCRA hendaklah kembali mengutamakan fungsi asal penubuhan mereka. Pengarahan baharu lebih tuntas perlu bagi meneliti kemungkinan menutup mana-mana syarikat subsidiari yang merugikan dan tidak selari dengan fungsi penubuhan seperti penubuhan syarikat ejen pelancongan, pengawal keselamatan dan teknologi maklumat. Kerajaan meneliti kemungkinan untuk melarang syarikat dan badan berkanun persekutuan untuk meneruskan amalan ini.

Semakan semula juga perlu dilaksanakan ke atas pakej saraan ketua eksekutif dan pengurusan tertinggi syarikat dan badan berkanun pada kadar yang lebih munasabah.

Ikhtiar 6: Memperkasa Kerjasama Awam-Swasta

Kita mesti menjalin usahasama yang memanfaatkan kekuatan dengan Kerajaan memudah cara manakala sektor swasta memacu pertumbuhan ekonomi, melabur dan menjana pekerjaan.

Pertama: Kerjasama dengan Industri bagi Pelaksanaan TVET

Bukan sahaja pengangguran belia itu tinggi, malah kita juga terperangkap dalam situasi underemployment bilamana pekerjaan tidak dibayar gaji yang setimpal dengan kelayakan.

Data menunjukkan, 90 peratus graduan TVET memperoleh pekerjaan tetapi 90 peratus mereka meraih gaji yang rendah hanya sekitar 2,000 ringgit sebulan. Walhal Kerajaan berbelanja sehingga

6.7 bilion ringgit untuk TVET. Ini tidak boleh diterima dan pembaharuan perlu dilaksanakan agar 90 peratus graduan TVET menerima gaji lebih 2,000 ringgit.

Suatu kebijakan yang harus dicontohi ialah kerjasama Kerajaan Pulau Pinang dengan pemain industri Elektrikal & Elektronik yang berjaya menyediakan pekerjaan kepada graduan TVET dengan gaji bermaruah. Syarikat seperti Intel, Motorola dan Inari telah memanfaatkan Penang Skills Development Centre untuk menganjurkan program latihan berdasarkan keperluan mereka.

Kerajaan berhasrat untuk mencontohi model ini secara rintis melibatkan institusi TVET Persekutuan dengan sasaran 50 buah syarikat terutamanya daripada kalangan GLC.

Syarikat peneraju ini akan mengambil alih sebahagian atau sepenuhnya operasi institusi TVET seperti kolej komuniti, institut latihan kemahiran awam (ILA) dan institut kemahiran belia negara (IKBN) bagi menyediakan program latihan yang memenuhi keperluan mereka. Misalnya:

PETRONAS menerajui kluster minyak & gas di Pengerang, Kimanis, Batu Rakit dan Miri;

DRB Hicom bagi kluster automotif di Pekan;

Sunway bagi kluster perhotelan; dan

MRCB bagi kluster pembinaan.

Pembaharuan ini berupaya menggunakan sumber Kerajaan dengan lebih efektif bagi penghasilan graduan TVET yang memenuhi keperluan industri. Kerjasama awam-swasta melalui pendekatan baharu seperti ini akan terus diteroka untuk bidang atau perkhidmatan Kerajaan yang lain.

Bagi mengeratkan kerjasama industri, Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) diperkukuh dengan peruntukan 50 juta ringgit untuk manfaat lebih 8,000 pelatih. Program Academy in Factory akan dilaksanakan untuk menyediakan peluang kepada lebih 50 ribu pelatih menjalankan latihan sambil bekerja di kilang.

Kedua: Galakan Pekerjaan dengan Pendapatan Setimpal

Kerajaan akan terus menggalakkan sektor swasta menggaji dengan nilai yang lebih tinggi.

PERKESO akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji 17 ribu graduan khususnya TVET sebanyak 600 ringgit sebulan selama tiga bulan sebagai tambahan kepada gaji yang ditawarkan. 45 juta ringgit disediakan untuk tujuan ini.

PERKESO juga menyediakan insentif kepada majikan menggaji golongan mudah terjejas seperti OKU, bekas banduan, gelandangan dan penganggur tegar sehingga 600 ringgit sebulan untuk tempoh sehingga tiga bulan.

Kerajaan turut menggalakkan anak muda meningkatkan keupayaan dan kemahiran bagi meraih gaji yang lebih bermakna.

Kerajaan akan menanggung bayaran latihan untuk pekerja gig menjalani program peningkatan kemahiran micro credentials sehingga 4,000 ringgit. PERKESO juga menyediakan elaun 300 ringgit untuk tiga bulan sebagai menggantikan pendapatan pekerja gig yang aktif dan sedang menjalani program latihan. Secara keseluruhan, 40 juta ringgit disediakan untuk manfaat 30 ribu pekerja gig.

Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDCorp) dengan dana 1 bilion ringgit akan dimanfaatkan untuk melaksanakan program latihan kemahiran kepada pekerja-pekerja bagi majikan yang berdaftar dan mempunyai levi terkumpul.

Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan akan menawarkan 35 ribu peluang kerjaya kepada belia, graduan TVET selain kumpulan rentan dan veteran.

Kita mengalami kerugian hasil 20 bilion ringgit akibat dasar yang mengekang pengambilan pekerja terutama pekerja asing. Dengan dasar pemutihan baru-baru ini, masalah ini hampir selesai tanpa melibatkan ejen yang mengambil laba yang tinggi.

Kebanyakan sektor berisiko tinggi masih bergantung dengan pekerja asing. Ini disebabkan sektor ini menawarkan gaji rendah dan kebajikan pekerja tidak terjamin.

Pengalaman syarikat Sime Darby Plantation membuktikan, pekerja tempatan bersedia untuk bekerja di ladang sawit jika gaji yang dibayar sekurang-kurangnya 3,000 ringgit dan persekitaran pekerjaan yang lebih menarik dibantu oleh mekanisasi dan mengadaptasi automasi. Sasaran mereka adalah untuk menggaji 100 peratus pekerja tempatan menjelang akhir 2027.

Maka, Kerajaan akan menyediakan 50 juta ringgit geran sepadan untuk menggalakkan automasi sektor perladangan melalui penggunaan robotik dan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) yang berupaya menggaji pekerja tempatan yang berkemahiran.

Terkait soal industri sawit, kita mengeji gerakan anti minyak sawit yang masih aktif didalangi pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa. Penting untuk kita bertindak secara konsisten mempertahankan malah meluaskan pasaran industri sawit negara. 80 juta ringgit disediakan bagi menambah baik kelestarian industri sawit dan mempergiat Kempen Menangani Antiminyak Sawit.

Dato’ Yang di-Pertua,

Kerajaan Perpaduan sensitif akan keperluan kaum wanita terutamanya mereka yang terpaksa berhenti bekerja selepas tempoh cuti bersalin untuk menjaga anak-anak kerana kos penjagaan kanak- kanak yang tinggi.

Bagi menggalakkan wanita kembali bekerja, PERKESO akan meminda Aktanya untuk membolehkan pemberian geran bersamaan 80 peratus daripada nilai gaji yang diinsuranskan

pekerja. Dianggarkan lebih 130 ribu wanita yang kembali bekerja selepas bersalin akan mendapat manfaat daripada geran ini melibatkan dana keseluruhan 290 juta ringgit setahun.

Saya menyeru supaya majikan memainkan peranan untuk turut bertanggungjawab penyediaan pusat jagaan kanak-kanak di pejabat. Kerajaan akan terus memudah cara garis panduan untuk pusat jagaan kanak-kanak di pejabat termasuk membenarkan penyediaan pusat jagaan di aras pejabat yang lebih tinggi.

Insentif cukai sedia ada juga akan dilanjutkan bagi elaun jagaan kanak-kanak serta kos menyediakan pusat jagaan di pejabat. Jika sambutan daripada majikan kurang menggalakkan, Kerajaan akan meneliti keperluan untuk mewajibkan penyediaan kemudahan tersebut demi menyokong ibu yang bekerja.

Pada masa yang sama, Kerajaan akan memudah cara proses pendaftaran dan memulakan semula program pemutihan taska dan pusat penjagaan kanak-kanak yang belum berdaftar di seluruh negara. Sejumlah 15 juta ringgit disediakan sebagai pinjaman mudah bagi membantu para pengusaha.

Kepada penjawat awam, Kerajaan akan menyediakan subsidi yuran taska 180 ringgit sebulan selain menaikkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah yang layak daripada 5,000 kepada 7,000 ringgit.

Terkait hal yang sama, bagi memperluas akses pendidikan awal kanak-kanak, Kerajaan akan meneruskan pembinaan 80 buah taska dan tabika KEMAS termasuk 13 projek baharu.

Ketiga: Dana Sepadan untuk Merancakkan Sektor Pelancongan

Negara kita kaya dengan limpahan khazanah alam yang mempesonakan serta pantai-pantai yang bersih dan menawan, selain dikurniakan kepelbagaian flora dan fauna. Kelebihan ini ternyata mempunyai kemampuan yang tidak kecil bagi menjana lebih banyak pendapatan melalui aktiviti pelancongan di pulau-pulau peranginan ataupun di kawasan warisan. Dalam menghasilkan daya lonjakan dalam sektor ini, tahun 2025 telah ditetapkan sebagai Tahun Melawat Malaysia dengan sasaran ketibaan 23.5 juta pelancong antarabangsa dan unjuran pendapatan sehingga 76.8 bilion ringgit.

Kerajaan memperuntukkan 250 juta ringgit untuk mempromosi pelancongan. Antaranya 115 juta ringgit disediakan sebagai dana geran padanan untuk bekerjasama dengan industri Pelancongan dan Kebudayaan.

Geran padanan ini antaranya untuk menggalakkan aktiviti promosi pelancongan dan penganjuran acara besar seperti sukan antarabangsa dan kebudayaan.

Geran sepadan ini turut digunakan bagi berusaha sama dengan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan syarikat penerbangan antarabangsa bagi menggalakkan penerbangan charter.

Terkait hal pelancongan, kesesakan jalan raya telah menjejaskan beberapa lokasi tumpuan pelancong. Kerajaan akan melaksanakan projek:

membina jalan baharu dari Habu ke Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang dengan kos sebanyak 480 juta ringgit;

menaik taraf Jalan Tun Hamzah ke persimpangan Semabok Lebuh AMJ Daerah Melaka Tengah dengan kos sebanyak 300 juta ringgit;

membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang dengan kos projek 160 juta ringgit; dan

menambah baik kemudahan jaringan lebuhraya ke Pengerang melalui pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway. Kerajaan juga bersetuju melaksanakan projek naik taraf Lebuhraya Utara Selatan di dari Yong Peng Utara ke Senai Utara – Fasa 1, Johor daripada empat kepada enam lorong dengan kos 525 juta ringgit secara berfasa.

Ikhtiar 7: Mengutama Agenda Digital

Pertama: Kemudahan Internet Untuk Rakyat

Semua rakyat berhak mendapatkan kemudahan internet yang stabil, kerana sudah menjadi keperluan asas dalam menjalani kehidupan seharian.

Kerajaan akan mempercepat pelaksanaan projek JENDELA sebagai usaha nasional menyediakan kemudahan jaringan internet. Bagi tahun 2023, 725 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan ketersambungan digital di 47 kawasan pengindustrian dan hampir 3,700 buah sekolah.

Pentadbiran lalu telah menerajui initiatif 5G melalui Digital Nasional Berhad (DNB). Pada akhir 2022, DNB telah mencapai 50 peratus liputan kawasan berpenduduk dan disasarkan akan mencapai 80% liputan menjelang penghujung tahun 2023. Kerajaan Perpaduan kini mengambil pendekatan supaya DNB diuruskan dengan lebih telus dan terangkum supaya mencapai penyertaan penuh oleh pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi. Akhirnya, apa yang mustahak adalah untuk mencapai liputan 5G yang menyeluruh dan pada harga yang berpatutan untuk rakyat.

Kedua: Pendigitalan Perniagaan

Perniagaan rakyat juga harus segera beradaptasi dengan teknologi digital supaya boleh meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan mereka.

Kerajaan akan memperkasa peranan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) untuk membantu peniaga kecil dengan pengetahuan ICT dan e-Dagang. Sebelum berakhirnya tahun 2023, Kerajaan akan memastikan terdapat kemudahan PEDi sekurang-kurangnya satu di setiap DUN (1DUN 1PEDi).

Bagi menyokong aktiviti automasi dan pendigitalan perniagaan, sejumlah 100 juta ringgit disediakan di bawah Skim Geran Pendigitalan PKS dan penjaja kecil. Geran padanan sehingga 5,000 ringgit akan dibayar kepada PKS yang melanggan aplikasi pendigitalan perniagaan seperti sistem jualan POS, perakaunan atau pengurusan inventori.

Sejumlah 1 bilion ringgit juga tersedia sebagai dana pembiayaan di bawah BNM untuk membantu PMKS mengautomasikan proses perniagaan dan mendigitalkan operasi.

Ikhtiar 8: Memperkukuh Peranan Agensi dan Syarikat Kerajaan

Peranan GLC dan GLIC amat besar sebagai nadi penggerak ekonomi negara. Tahun ini, nilai pelaburan terkumpul Syarikat Berkaitan Kerajaan dianggarkan mencecah 50 bilion ringgit. Antara tumpuan pelaburan termasuklah modal teroka dalam syarikat pemula berinovasi tinggi.

Pertama: Syarikat Pemula Berinovasi Tinggi

Saya sempat menemui beberapa syarikat inovatif berpertumbuhan tinggi yang antaranya telah berjaya tersenarai di dalam Bursa Malaysia dan menembusi pasaran antarabangsa.

Bagi mencontohi kejayaan ini, GLC antaranya Khazanah dan KWSP akan melabur dalam syarikat-syarikat pemula tempatan yang inovatif dan berpertumbuhan tinggi dengan nilai pelaburan 1.5 bilion ringgit.

Kerajaan bercadang melanjutkan potongan cukai sehingga 1.5 juta ringgit ke atas perbelanjaan penyenaraian di Pasaran ACE dan LEAP sehingga tahun taksiran 2025. Potongan cukai cukai turut diperluas meliputi kos penyenaraian syarikat berasaskan teknologi di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Agensi-agensi Kerajaan akan terus meningkatkan ruang modal serta menarik minat bakat tempatan dalam sektor berinovasi tinggi.

40 juta ringgit disediakan di bawah Malaysia Coinvestment Fund (MyCIF) sebagai dana padanan yang menyokong kaedah pendanaan alternatif. Ini akan menjadikan ketersediaan dana terkumpul di bawah MyCIF berjumlah 300 juta ringgit.

Suruhanjaya Sekuriti juga akan memudahkan lebih banyak pasaran kedua bagi instrumen pasaran swasta untuk meningkatkan kecairan dan membolehkan penemuan harga yang lebih baik. Bagi menggalakkan penyenaraian syarikat teknologi berpertumbuhan tinggi tempatan, Kerajaan akan membenarkan penerbitan saham dwikelas.

Kedua: Tanggungjawab Sosial Korporat

Syarikat-syarikat GLC dan GLIC turut menyumbang kepada pelaksanaan pelbagai program untuk kesejahteraan rakyat dan negara. Ini termasuklah:

sumbangan sosial korporat sehingga 250 juta ringgit bagi menumpukan usaha membantu golongan rakyat termiskin termasuk komuniti miskin bandar bagi meningkatkan mutu kehidupan.

Selain itu, dalam memelihara warisan negara, Khazanah Nasional Berhad akan menerajui pembentukan Tabung Warisan Negara untuk menarik penyertaan swasta bagi memulihkan bangunan- bangunan warisan bersejarah. Ini termasuk usaha pembangunan semula Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Sri Negara, dengan kerjasama syarikat ThinkCity.

Syarikat ThinkCity juga akan bekerjasama dengan DBKL untuk mengambil bahagian dalam usaha memaknakan semula kehidupan di pusat bandar melalui projek pengindahan lokasi tumpuan serta mengangkat potensi aset bersejarah dan kebudayaan. Sejumlah 30 juta ringgit disediakan antaranya juga untuk meningkatkan daya huni perumahan awam di Kuala Lumpur.

Terkait hal yang sama, Kerajaan juga akan menyalurkan peruntukan 50 juta ringgit kepada negeri Melaka dan Pulau Pinang untuk terus kekal memelihara tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh UNESCO.

KEADILAN SOSIAL UNTUK MENYEDERHANA KESENJANGAN

Negara ini mendambakan Malaysia yang saling menghormati dan saling mengasihi. Sifat ihsan dan rahmah itu mesti tertegak melalui aspek keadilan sosial bagi menjamin kesejahteraan SEMUA rakyat.

Ikhtiar 9: Menoktahkan Miskin Tegar

Pertama: Bantuan Tunai & Inisiatif Pendapatan Rakyat

“Tanamkan dalam nurani-mu perasaan cinta dan kasih kepada rakyat dan jadikan itu sebagai sumber kebaikan dan berkah bagi mereka.

Jangan jadikan dirimu laksana binatang buas yang bersiap memangsakan mereka dan jangan ambil hak mereka.”

(Petikan dari Surat Saidina Ali Abi Talib yang diutus kepada calon Gabenor Mesir Malik Ashtar dalam bab Pedoman Menjalankan Pemerintahan, Kitab Nahjul Balaghah)

Iltizam Kerajaan hari ini adalah untuk menoktahkan kemiskinan tegar. Kira-kira 130 ribu orang rakyat tersusah tanpa mengira latar belakang kaum akan segera dibantu untuk keluar daripada belenggu kemiskinan melalui langkah yang lebih menyeluruh.

Kerajaan akan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan. Sejumlah 750 juta ringgit peruntukan disediakan untuk tahun 2023 kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan IPR.

Beberapa pendekatan baharu akan dilaksana untuk mengatasi kelemahan pelaksanaan lalu bagi meningkatkan keupayaan isi rumah miskin tegar meraih pendapatan. Antaranya:

Bantuan dan kemudahan kepada peserta tidak lagi diberikan sekaligus tetapi secara bulanan dan dipantau sama ada sewa beli kelengkapan atau subsidi penggajian untuk majikan yang mengambil peserta miskin tegar bekerja.

Aktiviti ekonomi disertai hendaklah yang memenuhi keperluan komuniti setempat terutamanya sektor agropertanian dan makanan untuk memastikan permintaan berterusan.

Program ini menyasarkan untuk peserta meraih pendapatan antara 2,000 hingga 2,500 ringgit dalam tempoh pemantauan 24 bulan dan selepas itu dapat menjana pendapatan sendiri melalui hasil yang diperolehi.

Terkait hal yang sama, Kerajaan kini membayar bantuan kebajikan bernilai 2.5 bilion ringgit kepada lebih 400 ribu penerima. Bagi menyegerakan data dikemaskinikan dan memastikan tiada lagi yang tercicir daripada menerima bantuan, Kerajaan akan melaksanakan pemutihan senarai penerima bantuan bulanan Kerajaan antara ICU dan JKM di bawah satu pangkalan data.

Kedua: Peranan Kerajaan Negeri

Menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan, kedua-dua Yang Amat Berhormat Premier Sarawak dan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah telah bersetuju untuk meneruskan program pembasmian sebahagian bayaran hasil petroleum ke Sarawak dan Sabah bagi program-program pembasmian kemiskinan.

Selaras dengan itu, Kementerian Kewangan juga akan memperuntukkan sebahagian daripada Wang Ehsan Kelantan dan Terengganu supaya disalurkan secara langsung khususnya untuk membantu golongan miskin.

Menyokong hasrat yang sama, Kerajaan menyediakan 30 juta ringgit untuk menyokong usaha yang dibuat oleh UNDP dan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia yakni bagi memperbanyak aktiviti berkaitan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals, SDG). Ini termasuklah 10 juta ringgit bagi menggerakkan program kebun komuniti di peringkat Parlimen bagi menyokong agenda keterjaminan makanan.

Ikhtiar 10: Meminimum Beban Sara Hidup

Sejak awal mengemudi pentadbiran negara, isu utama yang diberi perhatian ialah kos sara hidup rakyat. Kerajaan tahun ini menyediakan sehingga 64 bilion ringgit dalam bentuk subsidi, bantuan serta insentif. Sejumlah besar dana ini adalah untuk meminimumkan kos sara hidup melalui kawalan harga barang, bantuan kewangan dan memberi perkhidmatan kepada rakyat terbanyak.

Pertama: Konsep Payung Rahmah

Dalam menimbang usaha menangani kenaikan kos sara hidup, Kerajaan Perpaduan telah memperkenalkan Konsep Payung Rahmah sebagai induk kepada usaha membantu golongan susah dan rentan.

Salah satunya ialah Inisiatif Menu Rahmah yang menganjurkan jualan set hidangan pada harga hanya 5 ringgit. Alhamdulillah Inisiatif Menu Rahmah ini dijangka akan terus menerima sambutan Yang baik daripada pengusaha makanan dan rakyat.

Kerajaan amat berterima kasih kepada semua peniaga; walau dengan keuntungan kecil tapi tetap bersama membantu rakyat. Semoga ini menjadi teladan untuk semua.

Kerajaan juga melaksanakan Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas dengan harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran. Kerajaan menyediakan 100 juta ringgit untuk menjayakan program ini di setiap 222 kawasan Parlimen.

Kerajaan juga akan meningkatkan peruntukan daripada 200 juta ringgit kepada 225 juta ringgit bagi memperluas program pengedaran barangan keperluan asas ke 25 kawasan baharu antaranya di Paloh dan Passin, Sarawak, Pasir Raja, Terengganu dan Kuala Krai, Kelantan.

Kedua: Sumbangan Tunai Rahmah

Kerajaan telah menyalurkan sumbangan tunai kepada golongan B40 di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1. Beberapa pembaharuan diambil kira supaya isi rumah yang benar-benar terkesan, mendapat manfaat yang lebih daripada STR. Antaranya:

Isi rumah pendapatan kurang 2,500 ringgit, layak terima sumbangan sehingga 2,500 ringgit bergantung kepada bilangan anak.

Kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan 600 ringgit kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih. Sumbangan ini akan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan juga secara baucar untuk barangan makanan asas bernilai 600 ringgit kepada mereka.

Ini bermakna, keluarga dalam kumpulan miskin tegar layak terima sumbangan sehingga maksimum 3,100 ringgit.

Secara keseluruhan, STR akan membantu meringankan beban sara hidup 8.7 juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir 8 bilion ringgit. Walaupun STR dikaitkan sebagai bantuan kepada B40, tetapi mengambil kira bilangan penerima, sebenarnya STR telah memanfaatkan lebih 60 peratus daripada rakyat dewasa negara.

Akhir sekali tidak dilupakan, kepada 2 juta orang belia 18 hingga 20 tahun, Kerajaan akan menawarkan kredit e-Tunai Belia Rahmah berjumlah 200 ringgit dengan peruntukan 400 juta ringgit.

Ketiga: Bantuan Untuk Pesawah & Pekebun Kecil Getah

Rakyat yang meraih pendapatan sebagai pesawah dan pekebun kecil getah turut terus diberi bantuan sewajarnya. Mereka ialah kelompok miskin yang bertarung dengan cuaca tidak menentu, terutama sewaktu musim tengkujuh untuk meraih pendapatan.

Kepada para pesawah padi:

Kerajaan akan meneruskan penyaluran pelbagai subsidi dan insentif seperti harga padi, baja padi dan padi huma dengan peruntukan 1.6 bilion ringgit.

Sumbangan tunai turut diberikan kepada pesawah padi sebanyak 200 ringgit sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim melibatkan 240 ribu pesawah dengan peruntukan 228 juta ringgit.

Saya sekali lagi ucap terima kasih dan penghargaan atas kesudian BERNAS untuk menyumbang sejumlah dana bagi membantu para pesawah miskin. Ini tentunya dapat membantu dan menambah keperluan hidup para pesawah. Selain sumbangan 60 juta ringgit yang disediakan, BERNAS turut bersetuju membuat perkongsian keuntungan daripada import beras dengan menyumbang 30 peratus keuntungan bersih kepada pesawah padi.

Kerajaan peka akan kenaikan kos pengeluaran dan penurunan harga getah yang agak membebankan pekebun kecil getah:

Bagi meningkatkan pendapatan minimum penoreh getah, Kerajaan bersetuju untuk menaikkan Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada 2 ringgit 50 sen kepada 2 ringgit 70 sen sekilogram dengan peruntukan 350 juta ringgit.

Melalui kenaikan ini, saya menggesa Lembaga Getah Malaysia memudah cara kaedah tuntutan terutamanya melibatkan pekebun kecil yang terpaksa keluar berpuluh kilometer hanya untuk mendapatkan insentif tersebut. Ini tidak boleh lagi menjadi amalan kerana menyusahkan rakyat. Saya mahu, LGM lebih responsif turun padang menguruskan tuntutan pekebun kecil dan mula bertindak proaktif dalam soal penyaluran tuntutan.

Selanjutnya, Kerajaan turut bersetuju menaikkan sumbangan musim tengkujuh daripada 600 kepada 800 ringgit untuk tempoh empat bulan. Ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung 320 ribu pekebun kecil dengan peruntukan 256 juta ringgit.

Bagi meningkatkan permintaan getah sekali gus menambah pendapatan pekebun kecil, Kerajaan akan menyediakan 50 juta ringgit untuk menggunakan Cuplump Modified Bitumin (CMB) bagi penyelenggaraan jalan. Bahan CMB dilihat lebih memanjangkan jangka hayat jalan.

Keempat: Pendapatan Boleh Guna M40

Selama ini, golongan B40 sering diberikan pelbagai bentuk bantuan sementara kumpulan pertengahan, M40 menunjukkan kesabaran mereka meski terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang mencengkam. Sukacita diumumkan, Kerajaan bersetuju menambah pendapatan boleh guna M40 melalui pengurangan kadar cukai pendapatan individu yang memberi lebih manfaat kepada mereka.

Bermula 2023, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak 2 peratus melibatkan banjaran lebih 35 ribu hingga 100 ribu ringgit.

Pengurangan ini dijangka dapat memberikan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga 1,300 ringgit.

Sepertimana telah saya jelaskan, Kerajaan akan mengambil pendekatan yang progresif. Sementara M40 mendapat manfaat daripada pengurangan kadar cukai, Kerajaan akan menaikkan kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi antara 0.5 sehingga 2 peratus melibatkan banjaran lebih 100 ribu hingga 1 juta ringgit. Namun, kurang daripada 150 ribu pembayar cukai akan dikenakan cukai yang lebih tinggi.

Melalui pendekatan ini, langkah ini melibatkan pengurangan hasil cukai bersih Kerajaan sebanyak 900 juta ringgit untuk manfaat rakyat khususnya M40.

Kelima: Keterjaminan Makanan

Dalam mendepani tantangan kenaikan harga barang dan gangguan bekalan makanan, sektor agrimakanan perlu dirombak dengan mengutamakan kemandirian pengeluaran makanan tempatan melalui automasi dan pendigitalan.

BNM umpamanya menyediakan dana sehingga 1 bilion ringgit di bawah Skim Pembiayaan Agrofood untuk membantu pengusaha agromakanan meningkatkan produktiviti pengeluaran.

Dari sudut latihan dan bimbingan, MDEC akan memperluas penganjuran program Digital AgTech untuk melatih lebih ramai pekebun kecil beradaptasi dengan teknologi. Inisiatif ini dianggarkan dapat memanfaatkan 100 Pertubuhan Peladang Kawasan seluruh negara dengan peruntukan 10 juta ringgit.

Bagi meningkatkan kecekapan dengan penggunaan teknologi dalam sektor pertanian, Kerajaan bercadang untuk memberi Elaun Modal Dipercepatkan dan mengecualikan cukai pendapatan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal.

Dalam masa yang sama, tempoh permohonan galakan cukai bagi projek pengeluaran bahan makanan dilanjutkan sehingga akhir tahun 2025 dengan skop galakan turut diperluas merangkumi projek pertanian moden berasaskan Pertanian Persekitaran Terkawal.

Bagi memastikan bekalan makanan pada harga berpatutan, pengeluaran makanan perlu ditingkatkan supaya berskala besar dan berdaya saing. Melalui sokongan Kerajaan, syarikat Farm Fresh telah muncul sebagai pengeluar susu segar utama di Malaysia. Oleh itu, Kerajaan akan menggalakkan pelaburan swasta berasaskan pertanian berskala besar antara lain melalui penyediaan insentif, tanah, pembiayaan dan geran teknologi.

Hanya 1.2 juta hektar tanah negara dimanfaatkan untuk tujuan tanaman makanan berbanding 7 juta hektar bagi tanaman kelapa sawit dan getah.

Kerajaan bercadang supaya FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan

(KPKM) menyuburkan tanah-tanah terbiar milik mereka dengan keluasan sehingga 800 ekar untuk projek tanaman makanan.

Kementerian Pertahanan dan LTAT berserta syarikat lain juga akan melaksanakan projek peningkatan pertanian bijirin jagung domestik selain untuk meningkatkan keterjaminan makanan, malah memberi peluang kerjaya kepada veteran tentera. LTAT menyediakan 70 ekar tanah perladangan untuk melaksanakan projek ini.

Kerajaan juga akan menyediakan 30 juta ringgit untuk bekerjasama dengan beberapa Kerajaan negeri bagi melaksanakan projek-projek agromakanan.

Ikhtiar 11: Menjamin Keharmonian dan Perpaduan

Keharmonian dan perpaduan negara harus sentiasa dipelihara tidak kiralah antara wilayah mahupun kaum. Keadilan sosial perlu ditegakkan bagi menutup kesenjangan pembangunan negeri-negeri dan pendapatan rakyat.

Perpaduan mesti terus penting dan utuh terutamanya dalam usaha kita merungkai isu-isu pokok yang merundung negara. Permasalahan rakyat yang saban hari terpaksa bergelut dengan peningkatan kos sara hidup kini sedang ditekuni secara tuntas. Kita tidak cuba untuk menerapkan kebijakan yang separuh masak atau yang memihak kelompok elit, tetapi kita harus memastikan ia dirasai segenap rakyat.

Suka saya ingatkan hubaya tidak ada lagi pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan mengapi-apikan perbedaan kaum

dan warna kulit. Negara ini tidak akan biarkan sentimen kebencian ini dibiar menanah sehingga membarah menjadi tindak ganas. Saya beri jaminan di sini bahawa tidak hanya ‘perpetrators’ yang akan diberkas tetapi ia termasuk ‘purveyors’ yang menyalah guna hak kebebasan bersuara.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Telah binasa mereka yang melampau,” diulangnya (oleh Nabi) sebanyak tiga kali.”

Bagi meraikan kepelbagaian dan merapatkan jurang perbezaan, sejumlah 50 juta ringgit disedia bagi menggerak pelbagai program antaranya Kembara Perpaduan Malaysia Madani dan Ini Warisan Kita. Program ini akan menggerakkan pelbagai aktiviti perpaduan dan integrasi sosial antara komuniti seperti liga sukan perpaduan, pertandingan kebudayaan, fiesta perayaan dan citarasa menu.

Bagi memupuk perpaduan di samping mengangkat peranan ibu bapa, komuniti dan NGO dalam pembangunan anak-anak di sekolah, Kerajaan bersetuju menyediakan 20 juta ringgit untuk melaksanakan program gotong-royong di semua sekolah seluruh Malaysia.

Selain itu, peruntukan 50 juta ringgit turut disediakan bagi penyelenggaraan dan baik pulih rumah ibadat bukan Islam seluruh negara.

Pertama: Pembangunan Sabah dan Sarawak

Negeri Sabah dan Sarawak akan terus meraih manfaat besar daripada peruntukan pembangunan masing-masing sebanyak 6.5 bilion ringgit dan 5.6 bilion ringgit.

Antaranya termasuklah perancangan untuk membangunkan bandar-bandar yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia seperti Kalabakan, Sabah serta Ba’kelalan, Sarawak dengan kos 1 bilion ringgit sebagai langkah menyambung perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

Selain itu, lebih 2.5 bilion ringgit disediakan bagi melaksanakan projek-projek melibatkan prasarana awam yang kebanyakannya untuk manfaat Sabah dan Sarawak melibatkan projek jalan dan lampu jalan serta bekalan air dan elektrik.

Kerajaan komited meneruskan dan menyegerakan pelaksanaan lebuh raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak- Sabah Link Road yang dianggarkan melibatkan kos keseluruhan 20 bilion ringgit dengan jajaran lebih daripada 1,000 kilometer.

Bagi memudahkan urusan rakyat di pedalaman Sabah dan Sarawak, Kerajaan akan memperbanyak kemudahan klinik, bank dan mahkamah bergerak dengan peruntukan keseluruhan 30 juta ringgit.

Saya juga sebelum ini telah mengumumkan tekad dan ikrar Kerajaan untuk menyerahkan kuasa melulus bagi perolehan projek

Persekutuan kepada Jabatan Teknik di Sabah dan Sarawak sehingga 50 juta ringgit bagi mempercepat pelaksanaan projek.

Pada tahun lalu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah mencapai persetujuan interim untuk pemberian khas tertakluk kepada rundingan bagi formula baharu. Pentadbiran ini komited untuk menambah baik kadar Pemberian Khas daripada yang telah dipersetujui sebelum ini dan akan menyegerakan rundingan untuk formula baharu bagi Sabah dan Sarawak. Sekian lama sejak tahun 1970-an, negeri Sarawak hanya menerima pemberian khas sebanyak 16 juta ringgit setahun. Kerajaan ini akan meningkatkannya sekurang-kurangnya 300 juta ringgit.

Kedua: Keselamatan Dalam Negeri & Pertahanan

Keselamatan negara perlu terus terpelihara bagi menjamin keamanan dan keharmonian. Kelemahan lalu dalam tatakelola perolehan telah menjejaskan kesiapsiagaan pertahanan negara. Perolehan kapal LCS yang telah menelan belanja lebih 6 bilion ringgit, namun satu kapal belum dapat disiapkan. Ketelanjuran seperti ini tidak boleh diulangi. Mulai sekarang, amalan orang tengah harus dihentikan serta-merta dan perlu terus berurusan dengan Kerajaan negara yang berkaitan.

Bagi tahun 2023, Kementerian Dalam Negeri (KDN) and Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) masing-masing diperuntukkan sejumlah 18.5 bilion dan 17.7 bilion ringgit.

Keutamaan peruntukan ini adalah untuk menyelenggara dan membeli aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan dengan peruntukan hampir 4.1 bilion ringgit.

Sementara itu, agensi-agensi di bawah KDN akan disediakan hampir 1 bilion bagi memperkasa keselamatan dalam negeri antaranya untuk memperoleh lebih 2,100 unit kamera badan PDRM. Selain itu, sebuah Ibu Pejabat Kontinjen Perak dan kuarters polis baharu akan dibina dengan kos 450 juta ringgit.

Kerajaan akan menambah 42 pos kawalan sempadan polis PGA, Imigresen, ESSCOM dan APMM bagi memperketat kawalan sempadan negara selain menyelenggara semua kapal dan bot APMM.

Aspek kebajikan angkatan bersenjata negara akan terus dipelihara.

Lebih 500 juta ringgit disediakan untuk menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera dan membaik pulih kuarters kediaman dan institusi di bawah KDN.

Bagi membantu pemilikan rumah mampu milik bagi ATM secara berfasa, Kerajaan akan membina lebih 7 ribu unit rumah mampu milik di bawah Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Kuala Lumpur.

Menurut peraturan semasa, anggota yang meninggalkan perkhidmatan atau bersara tidak berpencen perlu membuat penyelesaian penuh baki pembiayaan LPPSA. Mengambil kira

keresahan dan beban yang perlu ditanggung, Kerajaan bersetuju supaya LPPSA menawarkan peluang untuk anggota meneruskan bayaran balik baki pinjaman seperti biasa sehingga selesai. Usaha ini membolehkan 4,000 peminjam LPPSA layak menstruktur semula pembiayaan mereka dan 700 peminjam bakal bersara tidak berpencen setiap setahun dapat meneruskan bayaran balik pinjaman seperti biasa.

Kerajaan memahami kekhuatiran veteran ATM yang menghadapi kesukaran mendapat pekerjaan selepas umur persaraan. Tekad saya, untuk pastikan, veteran ATM disediakan pekerjaan dan kemudahan latihan.

Pentadbiran ini akan melaksanakan Program Kerjaya Kedua Veteran ATM menerusi kerjasama LTAT. Di bawah ikhtiar ini, seramai 5,000 veteran ATM yang berpencen tahun ini akan ditawarkan peluang pekerjaan di syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan atau menerima latihan kemahiran untuk meningkatkan peluang menjana pendapatan.

Untuk meningkatkan kemahiran 1,250 orang veteran, Jabatan Hal Ehwal Veteran bersama-sama agensi Kerajaan lain akan menawarkan lima bidang kursus antaranya pengendalian dron, keselamatan siber dan penyelenggaraan pesawat selama tiga bulan.

Ketiga: Syiar Islam

Kerajaan telah menyediakan peruntukan berkaitan hal ehwal Islam berjumlah 1.5 bilion ringgit dan kita mahu institusi Islam dalam negara Madani ini menjadi contoh terbaik dalam kecekapan pentadbiran. Pengurusan paling cekap harus dimulakan di sini, dan gedung ini mesti menjadi markas dakwah yang berkesan yang boleh meningkatkan kefahaman sebenar mengenai Islam.

Selaras dengan ini, saya juga faham peranan besar yang dimainkan oleh imam dan bilal serta guru-guru dalam mengimarahkan fungsi masjid sepertimana firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat-18:

Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta (tetap) melaksanakan salat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada apa pun) kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk.

Menghargai jasa dan keringat mereka, Kerajaan bersetuju untuk:

menaikkan elaun bagi 35 ribu guru KAFA sebanyak 100 ringgit kepada 1,100 ringgit dengan peruntukan tambahan lebih 40 juta ringgit; dan

memberikan sumbangan khas 600 ringgit kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir. Seramai 70 ribu orang akan menerima sumbangan ini melibatkan peruntukan lebih 40 juta ringgit.

Keempat: Sukan dan Budaya

-Sukan

Tentunya sukan dan budaya itu penting dalam pembangunan aspek kerohanian masyarakat. Selain dalam bentuk pertandingan, ia juga satu wahana yang ampuh dalam menyemarak kebhinekaan dalam kalangan rakyat yang rencam kaum dan agama.

Pentadbiran ini akan menumpukan kepada program perpaduan yang berlandaskan penerapan nilai-nilai murni antara kaum. Keutamaan diberikan kepada program sukan, kebudayaan dan kesenian di peringkat sekolah dan komuniti dengan memastikan penglibatan belia dan semua jenis sekolah secara silang budaya. Sebanyak 20 juta ringgit disediakan bagi program tersebut.

Bagi menjayakan program-program ini, Kerajaan akan menyediakan dana geran padanan 50 juta ringgit bagi mendorong penajaan sektor swasta untuk program sukan, khususnya sukan berteraskan perpaduan, penganjuran pertandingan di peringkat kebangsaan dan program realiti sukan.

Berhubung atlet sukan negara, Kerajaan akan terus menambah baik program latihan dan kemudahan sukan untuk manfaat semua atlet termasuk atlet para melalui penyediaan dana berjumlah 324 juta ringgit. Peruntukan ini antaranya untuk membangunkan ekosistem sukan yang menyeluruh daripada pencarian bakat sehingga ke acara podium; serta untuk tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan sukan di seluruh negara.

Kerajaan juga bersetuju potongan cukai sehingga 10% daripada pendapatan agregat diberi kepada individu atau syarikat yang menyumbang kepada organisasi bukan berasaskankeuntungan yang melaksanakan program pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

Bagi memelihara dan melindungi kebajikan para atlet, dana 5 juta ringgit disediakan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bermula tahun 2023. Dalam masa sama, Kerajaan turut bercadang untuk memberi potongan cukai kepada majikan yang menggaji bekas atlet negara.

-Seni Budaya, Karya Kreatif dan Bahasa

Kerajaan terus mendukung usaha penggiat seni kreatif dalam mengangkat bidang kesenian dan kebudayaan. 102 juta ringgit disediakan sebagai Dana Kandungan Digital untuk mempergiat pemasaran produk seni tempatan dan mendorong penghasilan lebih banyak karya kreatif.

Kerajaan bercadang agar sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah FINAS akan diberi potongan cukai. Selain itu, duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran juga akan dikecualikan.

Aktiviti kebudayaan berperanan besar dalam melahirkan masyarakat madani yang saling menghormati dan bersatu padu. Ini juga penting bagi menyuburkan kepelbagaian khazanah seni yang telah kita warisi zaman-berzaman. Kerajaan menyediakan dana 25 juta ringgit bagi menyemarak kegiatan kebudayaan dan kesenian di peringkat komuniti.

Pemerkasaan budaya dimulai dengan budaya iqra’ bagi memupuk minat membaca karya-karya klasik dan agung yang melibatkan khazanah alam Melayu, dunia Islam dan Barat. Kerajaan menyokong usaha menyubur dan menterjemah karya agung seperti karya-karya Imam Al- Ghazali, penggagas Maqasid Syariah Abu Ishaq al-Shatibi, Syeikh Daud Abdullah al-Fatani, dan Nuruddin Ali ar- Raniri, pemikir, sasterawan dan fialsuf Muhammad Iqbal.

Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama dengan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) serta Yayasan Karyawan diberi mandat mempergiat aktiviti terjemahan dan menjadikan ia sebagai bahan bacaan yang disukai ramai. Aktiviti penerbitan bermutu tinggi oleh penulis tempatan juga akan ditingkatkan. Sejumlah 20 juta ringgit disediakan untuk tujuan ini.

Pada 27 Januari yang lalu, saya telah umumkan bahawa kita akan mencetak sebanyak sejuta naskah Al-Quran sebagai simbolik penuh hikmah dan matang bagi menjawab serangan purbasangka terhadap Islam seperti kejadian pembakaran kitab suci Al-Quran di Sweden baru- baru ini. Untuk tujuan ini, 10 juta ringgit akan disumbangkan kepada Yayasan Restu bagi pengedaran segera cetakan 20 ribu naskah terjemahan Al-Quran dalam bahasa Sweden serta bahasa asing utama dunia.

Ikhtiar 12: Menyediakan Keperluan Asas Berkualiti

Yang mahu ditingkatkan bilamana bicara tentang kesejahteraan hidup rakyat ialah usaha menambah baik kemudahan mustahak seperti pengangkutan awam, pendidikan, kesihatan dan perumahan.

Melalui Pemberian kepada Kerajaan Negeri Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP), tahun ini Kerajaan menaikkan pemberian TAHAP kepada 400 juta ringgit berbanding 330 juta pada tahun lalu. Pemberian ini dapat membantu terutamanya negeri kurang membangun termasuk Kedah dan Perlis.

Terkait hal ini, saya ingin menyentuh perihal peruntukan Ahli Parlimen tatkala ada segelintir pihak yang cuba mempertikaikan mengapa perlu mengurangkan peruntukan Ahli Parlimen, dan ia seolah-olah menafikan kebajikan rakyat. Saya tegaskan di sini bahawa tanggapan itu tidak benar dan meleset sama sekali. Ini kerana kaedah penyaluran itu tidak penting sama ada kepada kerajaan negeri mahupun Ahli Parlimen kerana jumlahnya tidak berkurang. Yang penting ia masih sampai kepada rakyat.

Pertama: Pengangkutan

Perkhidmatan pengangkutan rel dan bas dilihat penting dan beri manfaat besar khususnya kepada masyarakat bandar untuk bergerak ke tempat kerja.

Di bawah Prasarana, Kerajaan meneruskan inisiatif pas bulanan My50 untuk manfaat hampir 180 ribu pengguna.

Prasarana juga secara rintis akan memperkenalkan Pas Perjalanan Tanpa Had myBAS50 untuk manfaat rakyat Johor Bharu yang menggunakan perkhidmatan bas henti-henti di bawah Program SBST.

Kerajaan juga menyediakan 150 juta ringgit antaranya bagi memperluas pelaksanaan Program SBST ke bandar Melaka, Kuching dan Kota Kinabalu.

Terkait tentang Projek Mass Rapid Transit 3 (MRT3), pada asalnya tahun 2018 projek ini dianggarkan melibatkan kos 68 bilion ringgit. Tahun lalum, proses perolehan projek dimulakan dan kos projek dianggarkan 50 bilion ringgit. Kerajaan kini akan mengkaji semula perincian projek untuk memastikan nilai terbaik dan yakin akan dapat mencapai penjimatan tambahan sekurang-kurangnya di bawah 45 bilion ringgit. Usaha ini selaras dengan pembaharuan tatakelola untuk mengurangkan kos perolehan demi mencapai penjimatan yang dapat diagihkan semula untuk manfaat rakyat.

Perkhidmatan udara diketahui sebagai pengangkutan utama bagi rakyat pedalaman Sabah dan Sarawak.

Kerajaan akan terus menyediakan 209 juta ringgit bagi mensubsidi pengangkutan udara untuk manfaat mereka.

Selain itu, kemudahan wheelchair ramp di tujuh lapangan terbang Sabah dan Sarawak dibina untuk manfaat ribuan yang berkerusi roda yang menggunakan MASWings.

Kedua: Pendidikan

Za’ba secara tuntas mencerakinkan dengan tepat bahawa ketandusan nasib bangsa dalam soal kemiskinan dikategorikan kepada empat yakni kemiskinan dari segi akal budi, harta benda, cita-cita dan ilmu pengetahuan.

Pendidikan mesti menjurus ke arah pencerahan serta mencambah sikap daya fikir yang kritis dan terbuka. Novelis Rusia Fyodor Dostoevsky merumuskan bahawa, “it takes something more than intelligence to act intelligently” (‘Crime and Punishment’, [1886]). Justeru, pendidikan adalah birthright; yakni hak yang lahir bersama setiap anak manusia. Jadi, dalam mengangkat darjat rakyat ke suatu tahap yang boleh mengubah hidup mereka, aspek pendidikan mesti terus diberi keutamaan.

Kementerian Pendidikan akan terus menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak 55.2 bilion ringgit berbanding 52.6 bilion ringgit tahun 2022.

Sejumlah 2.3 bilion ringgit disediakan untuk memastikan infrastruktur serta kemudahan pembelajaran terbaik di semua sekolah buat anak-anak.

Ini meliputi naik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 buah sekolah yang daif khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas untuk kesegeraan.

Peruntukan turut melibatkan kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah seperti pembaikan tandas, pendawaian dan saliran sekolah serta menggantikan perabot dan peralatan asrama dan kelas yang telah uzur.

Selain itu, sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas akan dilengkapkan dengan kemudahan mesra OKU.

Kerajaan juga akan membina dewan terbuka bagi menyediakan keselesaan untuk anak-anak berhimpun.

Sebanyak tujuh sekolah baharu akan dibina dengan kos sebanyak 560 juta termasuk SK Paya Dusun di Terengganu, SMK Denai Alam di Selangor, SMK Nabalu di Sabah dan SMK Dudong di Sarawak.

Bagi menampung kos menyediakan makanan berkhasiat kepada murid-murid, kadar makanan bermasak bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) telah ditambah daripada 625 juta kepada 777 juta ringgit tahun ini yang memanfaatkan 700 ribu murid.

Sebagai tambahan, peruntukan untuk Program Makanan Prasekolah Kementerian Pendidikan ditingkatkan daripada 89 juta ringgit kepada 108 juta ringgit bagi memberi manfaat kepada lebih 240 ribu murid prasekolah KPM.

Pemantauan akan dibuat kepada penyedia makanan untuk pastikan makanan disediakan adalah berkualiti dan berkhasiat.

Peranan Guru adalah penting dalam mendidik dan memanusiakan anak-anak. Selari dengan arus pemodenan, keperluan pengajaran dan pembelajaran guru perlu segera beradaptasi dengan teknologi digital. Maka, bagi tahun 2023, Kerajaan akan membekalkan sekolah dan institusi pendidikan KPM dengan 50 ribu komputer riba, Insya-Allah.

Dato’ Yang di-Pertua,

Saya sering menekankan pentingnya budaya ilmu dan tradisi aqliah. Suatu yang perlu diambil iktibar ialah laporan tentang kemerosotan pengajian tinggi di Amerika Syarikat berjudul ‘A Nation at Risk: The Imperative for Educational Reform’. Ia mengungkapkan keprihatinan terhadap tahap kekuatan intelektual, moral dan kerohanian bangsa Amerika.

Bagi tahun 2023, Kementerian Pendidikan Tinggi akan diperuntukkan 15.3 bilion ringgit berbanding 14.5 bilion ringgit pada tahun 2022.

Antaranya, sejumlah 436 juta ringgit disediakan bagi membaik pulih infrastruktur dan menggantikan peralatan usang yang tidak lagi ekonomik di IPTA.

Sejumlah 35 juta ringgit juga tersedia sebagai dana untuk meningkatkan kesalinghubungan internet di institusi pendidikan tinggi Malaysia di bawah program Malaysian Research & Education Network (MYREN).

Berhubung aktiviti R&D yang dilihat penting, sejumlah 428 juta ringgit disediakan untuk melaksanakan aktiviti R&D di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Antaranya termasuklah peruntukan tambahan 50 juta ringgit untuk KPT mempergiat R&D berbentuk translasional yang lebih memberi manfaat kepada penyelesaian isu komuniti dan industri.

Selain itu, MOSTI juga disediakan 15 juta ringgit geran R&D khusus berkenaan penghasilan vaksin negara.

Berkait tentang pinjaman PTPTN, Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN selama tiga bulan bermula 1 Mac 2023 sehingga 20 peratus.

Bagi meringankan beban kewangan peminjam yang terkesan, Kerajaan bersetuju untuk memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan 1,800 ringgit ke bawah untuk tempoh 6 bulan. Permohonan penangguhan ini boleh dibuat mulai 1 Mac depan.

Ketiga: Kesihatan

Kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar iaitu sebanyak

36.3 bilion ringgit berbanding 32.4 bilion ringgit tahun lalu. Komponen utama peruntukan ini melibatkan keperluan perolehan ubat- ubatan, reagent, vaksin dan bahan guna habis termasuk peruntukan 3 bilion ringgit bagi lantikan baharu secara tetap dan kontrak lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.

Berkait isu kesesakan kemudahan kesihatan Kerajaan beberapa langkah akan diambil.

Kapasiti kesihatan negara akan dioptimum dengan menyumber luar pesakit daripada hospital yang sesak kepada hospital lain termasuk hospital universiti, hospital tentera dan kepada hospital swasta.

Kerajaan akan memperkenalkan Skim Perubatan Madani khusus untuk golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta sepertimana yang dilaksanakan Kerajaan Selangor. Sebanyak 120 juta ringgit disediakan untuk tujuan ini.

Kerajaan bercadang, hospital kebajikan yang berdaftar sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan amaun perbelanjaan kebajikan. Para penderma juga akan mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus.

Bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Melaka, Kerajaan akan membina blok wanita dan kanak-kanak dengan kapasiti 476 katil dengan kos hampir 700 juta ringgit.

Kerajaan juga akan memulakan kerja awalan untuk menaik taraf sebanyak 26 buah hospital termasuk pembesaran Hospital Kuala Kangsar, Perak; Jelebu, Negeri Sembilan dan juga Hospital Pontian, Johor yang telah berusia hampir seabad.

Bermula 2019, Kerajaan telah memperkenalkan Skim Peduli Kesihatan (PEKA B40) untuk menyediakan pemeriksaan atau saringan awal khas untuk golongan B40. Kerajaan menyediakan 80 juta ringgit bagi memperkasa Skim ini dengan turut merangkumi saringan penyakit kencing manis.

Mulai tahun taksiran 2023, had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan akan dinaikkan daripada 8 ribu kepada 10 ribu ringgit. Sebagai tambahan, skop pelepasan ini juga diluaskan meliputi kos pemulihan gangguan perkembangan saraf seperti Autisme, Down Syndrome dan Specific Learning Disabilities terhad kepada 4 ribu ringgit.

Keempat: Perumahan

Program Perumahan Rakyat (PPR) telah dilaksanakan sejak puluhan tahun untuk manfaat rakyat berpendapatan rendah. Usaha bersepadu Kerajaan Perpaduan kini terarah untuk pastikan suasana PPR yang lebih manusiawi dengan kemudahan yang memanfaatkan komuniti.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan disediakan peruntukan 50 juta ringgit bagi memastikan keadaan yang selamat di PPR dengan keutamaan kepada mengganti lif-lif yang telah usang. Bagi mempercepat proses perolehan, had sebut harga perolehan kerja penyelenggaraan dan pembaikan lif ditingkatkan kepada 1.2 juta ringgit berbanding 500 ribu ringgit.

15 juta ringgit disediakan untuk menyokong usaha NGO mengadakan kelas pemulihan untuk anak-anak yang masih tercicir dalam pembelajaran;

30 juta ringgit juga disediakan mempergiat aktiviti ekonomi rakyat seperti perusahaan makanan menggunakan platform Cloud Kitchen dibawah seliaan Yayasan Hasanah; dan

Bagi menyediakan capaian internet kepada kawasan komuniti, kemudahan internet kepada 40 ribu unit PPR untuk tahun 2023. Kerajaan juga akan menyediakan internet percuma di 56 PPR terpilih.

Beberapa projek PPR baharu sedang dilaksanakan melibatkan peruntukan 367 juta ringgit untuk manfaat 12,400 bakal penghuni baharu. Selain itu, program Rumah Mesra Rakyat di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) turut melibatkan pembinaan 4,250 unit rumah dengan peruntukan 358 juta ringgit.

Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) selama ini menyediakan jaminan Kerajaan untuk membantu peminjam yang tidak punyai pendapatan tetap. Tahun 2023, SJKP sedia menjamin sehingga 5 bilion ringgit nilai pinjaman untuk manfaat 20 ribu peminjam memerlukan.

Kelima: Perlindungan Sosial

Sekarang ini, anak muda yang mencari pendapatan sebagai gig riders terdedah dengan bahaya kemalangan jalan raya dan lebih malang sekiranya mereka tidak punyai sebarang perlindungan pekerjaan. Kerajaan bertekad untuk meningkatkan kemampanan sistem keselamatan sosial dengan mewajibkan semua pekerja sendiri untuk mencarum di bawah SKSPS secara berperingkat. Kewajiban ini turut terpakai kepada penyedia-penyedia platform yang mempunyai Lesen Pengendali di bawah Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Ini sebagai langkah melindungi mereka daripada sebarang kejadian tidak diingini, kemudahan perlindungan sosial perlu terus diberi perhatian.

Sehubungan itu dalam tempoh peralihan, Kerajaan akan menanggung 80 peratus daripada nilai caruman PERKESO bagi mengurangkan bebanan dan menggalakkan pekerja sendiri membuat caruman dalam Skim Pekerjaan Sendiri PERKESO, 100 juta ringgit disediakan untuk memanfaatkan golongan yang bekerja sendiri.

Melihatkan kepada kepentingan membina simpanan hari tua yang mencukupi dengan menggalakkan simpanan secara sukarela, Kerajaan bercadang meluaskan skop pelepasan cukai bagi premium insurans nyawa atau caruman takaful hayat untuk meliputi caruman sukarela kepada KWSP sehingga 3,000 ringgit.

Bagi menggalakkan lebih ramai orang bekerja sendiri menyimpan dalam KWSP, Kerajaan meningkatkan nilai sumbangan padanan kepada

300 ringgit berbanding 250 ringgit sebelum ini. 30 juta ringgit disediakan untuk manfaat lebih 100 ribu pencarum.

Kerajaan menyokong peningkatan pegangan ekuiti dalam kalangan Bumiputera. Jumlah had pelaburan individu Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) akan ditingkatkan kepada 300 ribu ringgit berbanding 200 ribu ringgit sebelum ini. Pentadbiran ini juga bersetuju untuk meningkatkan saiz dana Amanah Saham Malaysia (ASM) sebanyak 5 bilion ringgit.

Akhirnya, berhubung isu simpanan KWSP. Setelah negara dibelenggu dengan musibah pandemik COVID-19, rakyat terpaksa beberapa kali mengorbankan simpanan hari tua mereka bagi menampung keperluan hidup sewaktu pandemik. Kini setelah rakyat beransur-ansur bangkit untuk membina semula kehidupan, kebanyakan rakyat menggunakan pendapatan yang diterima untuk menyera kehidupan sementara simpanan hari tua masih rendah.

Kerajaan beriltizam untuk membantu rakyat membina semula simpanan persaraan mereka bagi memastikan simpanan yang ada kelak mencukupi untuk membiayai hari persaraan.

Kepada ahli yang berumur antara 40 hingga 54 tahun dengan simpanan KWSP kurang 10 ribu ringgit di dalam Akaun 1 mereka, Kerajaan bersetuju untuk menambah caruman simpanan KWSP Akaun 1 mereka sebanyak 500 ringgit. Program ini akan memberi manfaat kepada hampir 2 juta ahli KWSP melibatkan peruntukan hampir 1 billion ringgit.

Pada masa yang sama, Kerajaan berharap Rakyat yang mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi akan terus menyumbang supaya semua lapisan pencarum mendapat manfaat.

PENJAWAT AWAM

Dato’ Yang di-Pertua,

Lanjutan daripada sesi Penerangan Perdana Menteri di Parlimen usai lawatan saya ke Turkiye, Kerajaan bersetuju untuk memberi elaun khas 100 ringgit sehari kepada semua ahli pasukan mencari dan penyelamat negara yang terlibat di dalam misi di Turkiye dan Syria. Elaun ini adalah sebagai tanda penghargaan Kerajaan ke atas jasa besar yang diberikan atas nama kemanusiaan.

Susulan kenaikan kadar maksimum gantian cuti rehat (GCR) daripada 160 kepada 180 hari, Pentadbiran ini berhasrat untuk meneruskan cadangan menaikkan kebenaran penebusan awal GCR sehingga 50 peratus iaitu maksimum 90 hari. Ikhtiar ini diharap membantu penjawat awam yang memerlukan.

Kerajaan silih berganti, pemimpin negara kerap bertukar, tetapi penjawat awam sebagai tulang belakang Kerajaan setia menggalas amanah negara. Ke arah Malaysia Madani, penjawat awam perlu segera bawa perubahan, menerapkan pembaharuan dengan matlamat akhir menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara.

Dalam kita melangkah ke bulan Ramadan serta bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam, Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak 700 ringgit kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak selain 350 ringgit juga akan disalurkan kepada pesara Kerajaan. Insya-Allah, bayaran akan dibuat pada bulan April 2023.

PENUTUP

Dato’ Yang di-Pertua,

Kita kini punyai tanggungjawab besar untuk mengurus negara – dari melawan rasuah yang merompak peluang rakyat menikmati kehidupan yang lebih bermakna, kepada urus tadbir tatakelola yang mencerminkan prinsip kita kepada perbelanjaan yang menjurus kepada pengupayaan dan mobiliti sosioekonomi buat semua.

Biarpun ada yang berbeda pandangan politik, jangan kita biarkan perbedaan tersebut menghindar kita daripada melakukan perubahan yang bermakna. Sekiranya kita bersaing, janganlah race to the bottom, tetapi mesti berpaksikan kepada prinsip fastabiqul khairat, yakni berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.

Akhirul kalam, saya sudahi ucapan saya dengan firman Allah SWT di dalam Surah An-Nisa, ayat 58:

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadang.

SUMBER

Teks Ucapan Penuh Belanjawan 2023 yang kami kongsikan ini mengambil sumber daripada laman web Kementerian Kewangan yang boleh di muat turun melalui pautan rasmi di https://budget.mof.gov.my/pdf/belanjawan2023/ucapan/ub23.pdf.

Leave a Comment